Zeekr 001 – terjual 2,012 unit dalam bulan pertama produksi berjalan, tempahan penuh hingga akhir tahun

Zeekr 001, iaitu model pertama dari Zeekr (divisi kereta elektrik premium dari Geely) diumumkan telah pun dijual sebanyak 2,012 unit dalam bulan pertama produksinya berjalan secara penuh. Model ini hanya diperkenalkan pada April lalu, dan sebenarnya kesemua unit yang dijadualkan akan diproduksi tahun ini sudah habis ditempah pada bulan Jun.

Produksi Zeekr 001 ini dibuat menerusi fasiliti Zeekr Intelligent Factory yang terletak di Ningbo, China. Geely mendakwa bahawa kilang berkenaan adalah antara fasiliti pembuatan kenderaan paling canggih di dunia. Zeekr kini sedang berusaha untuk meningkatkan produksi mereka bagi memenuhi permintaan tempatan yang tinggi.

Zeekr juga sudahpun merancang untuk melebarkan operasi mereka secara global, namun ia hanya akan bermula pada 2023. Buat masa sekarang, mereka hanya menumpukan bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan di China, termasuk memasang pengecas-pengecas di 211 bandar, serta menyediakan stesen pengecas khas untuk Zeekr di sembilan bandar besar.

“Kami dedahkan Zeekr kepada dunia pada April tahun ini dan hanya dalam lapan bulan, kami telah membangunkan 001, memulakan produksinya di Kilang Pintar kami yang canggih di Ningbo dan telah menghantar lebih dari 2,000 unit coupe shooting brake mewah ini. Ini merupakan cabaran yang sangat mencabar buat Zeekr dan saya benar-benar bangga dengan kemajuan permulaan dalam masa yang singkat begini,” kata CEO Zeekr, Andy An-Conghui.

Zeekr 001 ini didakwa sebagai shooting brake elektrik sepenuhnya pertama di dunia (walaupun ia pada asalnya diperkenalkan sebagai SUV dengan gaya coupe menerusi model konsep Lynk & Co Zero), serta menampilkan saiz yang agak besar dengan dimensi 4,970 mm panjang, 1,999 mm lebar, 1,560 mm tinggi dan jarak roda sejauh 3,005 mm.

Model ini (dan model-model lain Zeekr serta model-model elektrik lain di bawah payung Geely selepas ini) diasaskan dari platform modular Sustainable Electric Architecture (SEA), atau secara spesifiknya platform SEA1 yang khas untuk asas model-model segmen-D sehingga -F.

Ia ditawarkan dengan dua pilihan rangkaian kuasa, dengan kedua-dua pilihan berkenaan menampilkan motor elektrik berkuasa 200 kW (272 PS) dan tork maksima 384 Nm. Model pacuan belakang diberikan hanya sebuah motor elektrik tersebut, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat.

Manakala untuk model pacuan semua roda, ia diberikan dua unit motor yang sama, bermaksud ia dibekalkan dengan kuasa 400 kW (544 PS) dan tork maksima 768 Nm. Ini membolehkan ia memecut dari pegun hingga 100 km/j dalam masa hanya 3.8 saat, serta mencapai kelajuan maksima melebihi 200 km/j.

Ia juga ditawarkan dengan dua jenis bateri – 86 kWj dan 100 kWj. Namun apa yang agak pelik, bateri kecil 86 kWj tersebut hanya ditawarkan untuk model AWD, yang membolehkan ia bergerak sejauh 526 km dalam kitaran NEDC. Manakala pek bateri 100 kWj lebih besar boleh dipadankan pada kedua-dua model, membolehkan model AWD bergerak sejauh 606 km dan model pacuan belakang bergerak sejauh 712 km.

Manakala untuk mengecaj semula, 001 boleh menerima suapan sehingga 7 kW pada pengecaj AC di rumah, serta menyokong sistem pengecaj laju DC sehingga 360 kW dengan sistem asas 400-volt. Menurut Zeekr, dengan pengecas laju berkenaan, jarak gerak 120 km dapat ditambah dengan caj hanya selama lima minit.

The post Zeekr 001 – terjual 2,012 unit dalam bulan pertama produksi berjalan, tempahan penuh hingga akhir tahun appeared first on Paul Tan's Automotive News.


Post a Comment

0 Comments