Perodua kini sedang mempertimbangkan untuk mengkesport kenderaan terpakai yang dijual untuk membeli kenderaan baru, ke luar negara. Perkara ini dinyatakan oleh presiden dan CEO Perodua, Datuk Zainal Abidin sewaktu acara pandu uji Myvi facelift 2022 hujung minggu lalu.
Kenderaan terpakai yang dimaksudkan ini adalah daripada Perodua Pre-Owned Vehicle (POV) yang sudah wujud sejak tahun 2017. Ia adalah satu cabang perniagaan kenderaan terpakai yang sudah melalui pemeriksaan rapi serta baik pulih, seperti Toyota Topmark dan BMW Premium Selection. Pembeli kenderaan POV ini diberikan jaminan terhadap catatan batuannya serta tambahan waranti selama 18 bulan.
Menurut Zainal, POV menawarkan harga yang berpatutan dan sesiapa yang mahu membeli model baru Perodua boleh menjual semula kenderaan terpakai mereka kepada POV. Idea untuk mengeksport ini mungkin muncul kerana Perodua cuma boleh menerima jumlah kenderaan terpakai yang terhad dan mereka perlu menguruskan pelupusan kenderaan-kenderaan tersebut.
“Saya akan umumkan pada sekitar bulan Januari. Berdasarkan pelan jangka masa panjang untuk kenderaan terpakai, ada banyak kenderaan seperti ini di Malaysia. Salah satu strategi kami adalah melihat kepada pelbagai pilihan, sama ada kami boleh mengeksport kenderaan terpakai ini ke negara lain yang memerlukan kereta,” kata Zainal.
“Pada masa ini, kami mempunyai pasukan yang sedang membuat kajian di salah satu negara yang kami tidak boleh beritahu sekarang. Mereka sedang melakukan kajian untuk pelaksanaannya dan kami telah menghantar beberapa buah kereta ke sana untuk kaji selidik pasaran, penerimaan harga dan sebagainya,” tambah beliau.
Eksport kenderaan terpakai sebenarnya bukanlah sesuatu yang asing. Sebagai contoh, Jepun mengeksport banyak kereta terpakai ke negara luar, dan Malaysia adalah antara destinasi utamanya. Sementara banyak kereta terpakai yang tiba di negara kita terdiri daripada kereta mewah/prestasi dengan catatan batuan yang rendah, ada juga negara lain yang mengimport kereta-kereta biasa dalam jumlah yang besar.
The post Perodua buat kajian untuk eksport kereta terpakai appeared first on Paul Tan's Automotive News.
0 Comments