Volvo, Polestar akan bangunkan SUV entry-level baru

Menurut satu laporan yang dikeluarkan oleh Autocar, Volvo dan Polestar akan memberikan fokus untuk pengenalan sebuah SUV elektrik entry-level selepas pengganti XC90 (dipanggil sebagai Embla) dan Polestar 3 dilancarkan nanti.

Untuk bahagian Volvo, mereka dikatakan bakal membangunkan sebuah crossover kompak untuk bersaing dengan model premium seperti Mercedes-Benz EQA dan DS3 Crossback E-Tense. Sebelum ini, terdapat ura-ura model sebegitu akan dipanggil sebagai XC20 atau C20, tetapi sekarang ia telah disahkan bakal mendapat nama baru yang tidak menggunakan sekadar gabungan huruf dan nombor (seperti XC90 diganti dengan Embla).

SUV EV yang bakal diperkenalkan ini juga akan menjadi model Volvo pertama yang menggunakan platform “open source” Sustainable Experience Architecture (SEA) daripada Geely. Platform ini sudah digunakan oleh Zeekr 001, yang disediakan dalam versi 86 kWh dan 100 kWh, dengan jarak gerak sehingga 700 km.

Zeekr 001 ini juga boleh menerima pengecasan pantas DC pada kadar sehingga 360 kW, tetapi kita masih perlu menunggu untuk melihat sama ada teknologi sama akan digunakan pada model Volvo. Setakat ini, pengeluar Sweden itu sudah menyatakan hasrat mereka untuk menjadikan EV sebagai penyumbang sehingga 50% daripada jumlah jualan global mereka menjelang tahun 2025, dan model baru ini akan membantu ke arah itu.

Sementara itu, SUV kedua Polestar pula dikatakan bakal tiba pada tahun 2023 dan diletakkan di antara model 2 dan 3. Ia juga akan mempunyai kaitan rapat dengan Polestar 2 dan Volvo C40 Recharge, yang menggunakan platform Compact Modular Architecture (CMA) dan boleh dipasang dengan bateri 64 kWh atau 78 kWh.

The post Volvo, Polestar akan bangunkan SUV <em>entry-level</em> baru appeared first on Paul Tan's Automotive News.


Post a Comment

0 Comments