Bagi sesiapa yang belum berkesempatan berkunjung ke Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024 di MITEC yang bakal berakhir pada 11 Dis ini, masih belum terlewat untuk berbuat demikian. Mungkin terasa ‘berat’ nak pergi sebab mengenangkan soal parkir, tapi jangan risau kerana Rapid KL ada menyediakan perkhidmatan bas perantara secara percuma.
Rapid KL menyediakan tiga lokasi mengambil dan menurunkan penumpang iaitu di platform C Hab Pasar Seni, hentian bas di pintu masuk pusat membeli-belah Sunway Putra Mall dan juga di MITEC (pintu selatan). Jadi anda boleh menaiki pengangkutan awam seperti MRT dan LRT untuk ke Pasar Seni atau Sunway Putra Mall, dan kemudian naik pula bas perantara Rapid KL percuma ini ke MITEC.
Bagi anda yang mahu berkunjung esok (10 Dis), bas perantara percuma itu akan mula beroperasi dari jam 10 pagi hingga 8 malam dan kekerapannya adalah setiap 60 minit. Manakala untuk hari penutupnya pada 11 Dis (merupakan cuti umum bagi negeri Selangor), bas perantara percuma akan beroperasi dari jam 10 pagi hingga 10 malam dan kekerapannya adalah antara 30 hingga 40 minit.
Untuk tiket masuk ke acara KLIMS 2024 ini, bayaran sebanyak RM20 (untuk 10 Dis) dan RM25 (untuk 11 Dis) akan dikenakan untuk pengunjung dewasa, RM10 bagi pelajar (usia 13-25 tahun dengan kad ID sah) dan percuma bagi kanak-kanak di bawah 12 tahun.
The post Rapid KL sediakan bas perantara percuma ke KLIMS appeared first on Paul Tan's Automotive News.
0 Comments