Di India, Kia memperkenalkan Syros, iaitu sebuah SUV bawah empat meter yang diletakkan antara Sonet dan Seltos dalam penawaran produk syarikat itu. Tempahan untuk model serba baru itu akan dibuka 3 Januari tahun depan, tetapi harga masih belum didedahkan.
Dibina atas platform K1, Syros mencatat panjang 3,995 mm, lebar 1,805 mm, tinggi 1,625 mm dan jarak roda 2,550 mm. Sama seperti model-model Kia terbaru yang lain, SUV ini juga menggunakan falsafah rekaan ‘Opposites United’ yang menerapkan antaranya muka ‘Digital Tiger Face’ dan pencahayaan lampu LED ‘Star Map’.
Datang dengan bentuk badan berpetak, SUV ini juga dilengkapi dengan lengkung roda yang jelas, pembuka pintu rata sama dengan badan, rel bumbung serta kemasan hitam di sekeliling bahagian bawah badannya. Lampu belakang datang dengan jalur nipis berbentuk L.
Sementara bahagian luar adalah unik, keadaan di dalam Syros ini pula lebih biasa. Ia kelihatan seperti banyak mendapat inspirasi daripada EV3, dengan mempunyai kemasan berwarna kontras termasuk di stereng, papan pemuka dan kulit pintu.
Menjadi tumpuan di atas papan pemuka adalah skrin 30 inci yang dipanggil sebagai ‘Trinity Panoramic Display’. Ia menggabungkan skrin sesentuh 12.3 inci untuk infotainmen, panel instrumen digital 12 inci dan skrin sesentuh lima inci untuk kawalan pendingin hawa.
Walaupun datang dengan skrin yang besar, kereta ini masih mempunyai banyak butang kawalan, diletakkan di bahagian bawah skrin itu dan juga di stereng. Ciri praktikaliti tidak dilupakan dengan tersedianya tempat cawan di konsol tengah, tempat meletak gajet di belakang tempat duduk hadapan dan kapasiti ruang barangan belakang 465 liter – boleh lipat 60:40.
Untuk kelengkapan, Syros datang dengan saiz rim antara 15 ke 17 inci, bumbung panoramik, tempat duduk balutan kulit tiruan, lampu suasana, sistem tanpa kunci, kamera undur, sistem bunyi Harman Kardon dengan lapan pembesar suara, sistem penapis udara serta tempat duduk hadapan dan belakang dengan liang udara.
Kia juga menawarkan ADAS Level 2 pada SUV ini, yang termasuk Front Collision Warning and Avoidance (dengan Autonomous Emergency Braking, Junction Assist dan bantuan parkir), Active Cruise Control dengan stop and go, Leading Vehicle Departure Alert, Lane Departure Warning, Lane Keep Assist, Lane Follow Assist, High Beam Assist, Driver Attention Warning, Blind View Monitor dan kamera 360 darjah. Sistem keselamatan biasa juga ada, seperti ABS, ESC dan enam beg udara.
Pakej penggerak disediakan dalam dua pilihan, bermula dengan enjin petrol tiga silinder 1.0 liter turbo Smartstream G berkuasa 120 PS (118 hp atau 88.3 kW) pada 6,000 rpm dan tork 172 Nm dari 1,500 hingga 4,000 rpm. Satu lagi adalah enjin diesel empat silinder 1.5 liter turbo Smartstream D berkuasa 116 PS (114 hp atau 85 kW) pada 4,000 rpm dan tork 250 Nm dari 1,500 hingga 2,750 rpm.
Kedua-dua enjin ini dipadankan bersama transmisi manual enam kelajuan untuk memacu roda hadapan, tetapi varian petrol boleh dipilih dengan kotak gear klac berkembar tujuh kelajuan manakala varian diesel pula boleh didapati dengan transmisi automatik enam kelajuan. Varian transmisi manual yang disediakan sebagai pilihan asas cuma datang dengan brek cakera di hadapan dan brek dram di belakang.
The post Kia Syros 2025 diperkenal di India – SUV dengan enjin petrol 1.0T atau diesel 1.5T, sistem ADAS Level 2 appeared first on Paul Tan's Automotive News.
0 Comments