Selepas beberapa siri teaser, MINI Malaysia kini secara rasminya melancarkan MINI Aceman, iaitu sebuah crossover elektrik yang diletakkan antara Cooper SE dan Countryman SE. Sama seperti dua model tersebut, Aceman juga ditawarkan dalam satu varian sahaja, iaitu SE dengan harga RM213,888 tidak termasuk insurans.
Pada harga ini, ia diberikan secara terus dengan jaminan dua tahun tanpa had batuan, dan jika anda mahukan tempoh jaminan empat tahun bersama pakej servis, harganya dinaikkan RM7,400 menjadi RM221,288.
Sebagai permulaan, kereta ini mencatat ukuran panjang 4,076 mm, panjang 1,754 mm lebar, tinggi 1,515 mm dan jarak roda 2,606 mm. Ini menjadikan ia lebih besar berbanding Cooper (panjang 3,858 mm, jarak roda 2,526 mm ) dan lebih kecil berbanding Countryman (panjang 4,433 mm, jarak roda 2,692 mm).
Secara visualnya Aceman ini mengikut konsep rekaan ‘Charismatic Simplicity’ jenama itu, yang juga diguna pakai pada model terbaru MINI. Antara yang menjadi tumpuan pada Aceman adalah gril tertutup, bukaan udara kecil di bawah serta bentuk lampu utama unik dengan DRL. Pembuka pintu dibentuk rata dengan badan, dan terdapat kemasan plastik di bahagian keliling roda serta bawah pintu. Lampu belakang menggunakan motif Union Jack.
Masuk ke dalam, anda akan menemui susun atur papan pemuka biasa MINI, dengan skrin sesentuh OLED 9.4 inci bulat di tengah menjadi akses utama untuk fungsi kenderaan, sambil memaparkan informasi penting lain. Mengawal fungsi infotainmen adalah MINI Operating System 9, bersama MINI Experiences Modes dan pembantu digital. Anda juga mendapat head-up display serta sistem kunci digital.
Melalui MINI Connected Store, pemilik dapat membeli naik taraf seperti Connected Package, yang memberikan fungsi tambahan seperti paparan bangunan 3D, navigasi augmented reality, laluan ke arah pengecas yang dioptimakan, informasi trafik semasa, permainan dalam kereta, stream video serta aplikasi lain.
Pada bahagian penggerak, Aceman SE menggunakan bateri nickel cobalt manganese (NCM) berkapasiti 54.2 kWh, mampu memberikan jarak gerak sehingga 406 km mengikut standard WLTP. Ia memberi tenaga kepada motor elektrik hadapan berkuasa 218 PS (215 hp atau 160 kW) dan 330 Nm, mampu memberikan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.1 saat dan kelajuan maksimum 170 km/j.
Untuk pengecasan, Aceman boleh menerima sumber AC hingga 11 kW, manakala untuk DC, ia boleh menerima sehingga 95 kW dan bateri akan naik dari 10% ke 80% dalam masa cuma 30 minit.
Kelengkapan standard yang diberikan pada Aceman termasuk rim 19 inci ‘Hexagram’, rel bumbung, skid plate, balutan kulit tiruan Vescin warna Dark Petrol, pengawal pendingin hawa dua zon, tempat duduk hadapan John Cooper Works dengan fungsi memori, roda stereng sport, balutan bumbung anthracite, pad pengecas tanpa wayar serta sistem pembesar suara Harman Kardon.
Untuk sistem bantuan pemandu pula terdapat amaran tukar lorong, amaran trafik belakang dan amaran perlanggaran hadapan dengan intervensi brek (AEB). Turut diberikan adalah Parking Assistant Plus dengan fungsi seperti Active Park Distance Control, Reversing Assist Camera dan Remote 3D View.
Tiga warna badan ditawarkan untuk Aceman SE ini, iaitu Rebel Red, Melting Silver dan Indigo Sunset Blue, dengan semuanya datang bersama bumbung dan cermin sisi hitam. Sekali lagi, dengan harga RM213,888 ini, Aceman SE terletak RM20,000 lebih berbanding Cooper SE, dan kurang RM45,000 berbanding Countryman SE.
The post MINI Aceman SE 2024 dilancarkan di Malaysia – EV dengan kuasa 218 PS, jarak gerak 406 km, RM214k appeared first on Paul Tan's Automotive News.
0 Comments