Aerotrain KLIA dijangka beroperasi semula pada 31 Januari 2025 — bas perantara tetap diteruskan

Aerotrain KLIA dijangka beroperasi semula pada 31 Januari 2025 — bas perantara tetap diteruskan

Setelah lama tergendala, perkhidmatan Aerotrain di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) dijangka akan mula beroperasi semula pada 31 Januari 2025. Bernama melaporkan, perkara itu dikongsi oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, yang memaklumkan dua aerotrain telah tiba di Malaysia minggu lalu.

Kedua-dua set aerotrain terbabit kini sedang di dalam fasa pemasangan yang akan diikuti oleh fasa pemeriksaan selepas itu. “Fasa berkenaan akan mengambil masa selama empat bulan,” jelas Loke. Pemeriksaan dinamik pula akan bermula Oktober nanti, yang bakal menyaksikan aerotrain terbabit diuji menggunakan landasan sebenar. “Jadi jika anda melihat ada aerotrain sedang beroperasi dalam masa terdekat, itu ada fasa ujian untuk memastikan kelancarannya,” tambahnya.

Beliau juga memaklumkan bahawa Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) perlu memantau secara dekat dan pastikan semua proses serta ujian dilakukan dengan betul supaya tiada lagi penangguhan. “Tahun depan sangat penting untuk negara, kerana bakal menjadi tuan rumah perjumpaan ASEAN dan antarabangsa yang lain. Kita mahu aerotrain ini sudah sedia beroperasi,” jelas beliau.

Keseluruhannya, MAHB bakal menerima tiga set aerotrain, setiap satunya dengan tiga gerabak yang mempu menampung seramai 270 penumpang. Set ketiga dijangka tiba di Malaysia Oktober ini dan akan digunakan sebagai unit simpanan kepada dua aerotrain lagi. Dengan penyambungan perkhidmatan aerotrain ini tahun depan, bas perantara juga akan terus beroperasi sebagai pilihan kepada penumpang yang kini kian bertambah.

Sebelum ini, projek penggantian aerotrain tersebut dijangka siap pada 31 Mac 2025. Tempoh ini bagaimanapun dipercepat dua bulan melalui kontrak yang dimeterai pada 14 Jun antara Malaysia Airports (Sepang), Alstom Transport Systems (Malaysia) dan IJMC-Pestech JV, yang merupakan syarikat kerjasama antara IJM Construction dan Pestech Technology.

Sistem aerotrain mula beroperasi sejak pelancaran KLIA pada 1998, dengan set tren asal sepatutnya ditukar selepas tender di buka pada Julai 2020. Pada September 2022, MAHB umumkan permulaan program penggantian aerotrain, yang akan diselesaikan pada Mac 2025 dan dikendalikan oleh pemenang bidaan tender, Pestech Technology. Sepanjang tempoh peralihan ini, bas perantara diperkenalkan untuk menampung perkhidmatan aerotrain yang beroperasi secara berjadual terhad.

Pada Mac 2023 pula, perkhidmatan aerotrain digantung sepenuhnya sebagai langkah berjaga-jaga susulan berlakunya kerosakan besar. MAHB mengeluarkan notis pembatalan kepada Pestech Technology bagi projek berkenaan pada Ogos tahun yang sama, dan memberikannya kepada Alstom Transport Systems (Malaysia) dan IJMC-Pestech. Kontrak baru itu melibatkan tambahan 15% kos dengan nilai RM456.1 juta tidak termasuk operasi dan penyelenggaraan.

The post Aerotrain KLIA dijangka beroperasi semula pada 31 Januari 2025 — bas perantara tetap diteruskan appeared first on Paul Tan's Automotive News.


Post a Comment

0 Comments