Kelahiran Mazda EZ-6, sedan baharu yang terhasil dari kerjasama antara Mazda dan Changan ini adalah bagi menggantikan model Mazda 6 di China. Setakat ini, tidak dapat dipastikan adakah ia juga akan dipasarkan ke negara lain, termasuk untuk versi pemanduan sebelah-kanan.
EZ-6 ini berkongsi platform dengan Deepal SL03 (satu lagi EV dari sub-jenama Changan) tetapi memiliki rekaan hadapan dan belakang yang unik. Penampilannya cukup terserlah dengan rekaan gril yang lebih besar, dan disambungkan ke lampu nyalaan siang LED, sementara lampu utamanya diposisikan sedikit ke bawah.
Terdapat kepingan menegak pada sisi bampar, sementara corong intake berbentuk trapezoidal berada di apron bawah. Di belakangnya, kelihatan lampu dan palang lampu yang tidak terdapat pada SL03, tetapi lekuk bampar belakangnya masih dikekalkan.


Bagi dimensinya, EZ-6 berukuran 4,921 mm panjang, 1,890 mm lebar, 1,485 mm tinggi dan jarak rodanya mencecah 2900 mm. Ini menjadikan ia 56 mm lebih panjang, 50 mm lebar lebar dan 35 mm lebih tinggi berbanding model semasa Mazda 6 sedan, juga mempunyai jarak roda yang lebih panjang sebanyak 70 mm.
Di dalamnya, EZ-6 menerima rekaan papan pemuka yang lebih minimalis, dengan skrin sesentuh infotainmen 14.6-inci yang diposisikan di atas corong udara tengah. Konsol tengah juga direka ringkas dan mempunyai tempat letak cawan dan storan yang sedikit kecil. Sementara roda stereng dan kluster instrumen digital 10.2-inci pula memang mirip dengan SL03.
Spesifikasi penuh masih belum didedahkan, namun EZ-6 juga seperti SL03 yang akan ditawarkan dengan dua penjana kuasa. Kalau seperti SL03, ia diberikan larasan elektrik sepenuhnya dengan motor elektrik yang dipasang di belakang dengan hamburan kuasa sama ada 218 PS (215 hp atau 160 kW) atau 258 PS (255 hp atau 190 kW). Kedua-duanya dengan puncak tork cecah 320 Nm. Pilihan bateri sama ada pek 58.9 kWh atau 66.8 kWh yang menawarkan jarak gerak antara 530 km hingga 610 km mengikut standard CLTC.


Selain itu, ia juga menawarkan versi plug-in hybrid (PHEV) yang menampilkan enjin 1.5 liter empat-silinder sebaris petrol, sama ada dengan bateri 19 kWh atau 28.4 kWh, dan motor elektrik sama ada 218 PS (215 hp atau 160 kW) atau 238 PS (235 hp atau 175 kW), dengan puncak tork juga 320 Nm.
Pek bateri yang lebih kecil menawarkan 135 km dalam mod EV sepenuhnya dan hingga 1,140 km dengan mod hibrid. Sementara bateri yang lebih besar pula menawarkan 200 km dalam mod EV sahaja, atau 1,200 km dalam mod hibrid. Secara rasminya, Mazda berkata model EV ini akan mempunyai jarak gerak kira-kira 600 km (mungkin mengikut piawaian CLTC), manakala versi PHEV dijangka mempunyai jarak lebih 1,000 km.
EZ-6 ini merupakan model EV ketiga jenama ini selepas MX-30 dan CX-30 EV yang dihasilkan dengan kerjasama antara Mazda-Changan. Adakah ia cukup menarik sekiranya turut dipasarkan ke negara lain?










The post Beijing 2024: Mazda EZ-6 diperkenalkan sebagai EV bagi ganti Mazda 6 di China – PHEV turut ditawarkan appeared first on Paul Tan's Automotive News.
0 Comments