Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Petronas menafikan khabar angin bahawa perlumbaan Formula One akan kembali ke Malaysia. Ini adalah susulan daripada laporan agensi berita Reuters semalam yang menyatakan syarikat itu sedang merancang untuk membawa semula perlumbaan itu ke sini pada 2026.
Agensi itu menyatakan tiga sumber dalaman yang tidak dinamakan berkata yang rancangan terbabit dibangkitkan dalam satu mesyuarat syarikat itu, awal minggu ini.
“Petronas merujuk kepada laporan yang diterbitkan pada 31 Januari 2024 berkaitan kemungkinan kembalinya perlumbaan Formula One Grand Prix ke Sepang pada 2026. Kami ingin mengesahkan yang tiada perbincangan yang diadakan berkaitan hal tersebut,” jelas kenyataan itu.
Malaysia pernah menganjurkan perlumbaan F1 di Sepang pada 1999, tetapi jualan tiket yang menurun dan kos penganjuran yang meningkat memaksa kerajaan persekutuan untuk membatalkan acar itu selepas 2017.
Desas-desus mengenai kembalinya F1 ke Sepang sudah kedengaran sebelum ini. Pada 2022, spekulasi tentang kembalinya F1 ke sini berlegar di media sosial selepas laman Twitter rasmi SIC memberi gambaran terhadap kemungkinan tersebut. Namun khabar angin itu dinafikan.
Kemudian, tahun lalu, Presiden Persatuan Sukar Permotoran Malaysia, Mokhzani Mahathir berkata ada kemungkinan untuk Malaysia penganjurkan F1 semula dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang sekiranya ada pihak yang sanggup menanggung perbelanjaannya.
The post Petronas nafi perlumbaan F1 akan kembali ke Sepang appeared first on Paul Tan's Automotive News.
0 Comments