Anggota polis Malaysia akan mula menggunakan kamera di badan (BWC) Oktober tahun ini. Ia diberitahu oleh Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad, yang berkata 7,648 unit BWC akan dibekalkan kepada PDRM secara berperingkat bermula September ini.
“BWC ini kebanyakannya akan digunakan oleh anggota di dalam kenderaan peronda (MPV) dan unit rondaan bermotosikal (URB) di bawah jabatan ini. Ia juga akan dibekalkan kepada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik,” kata beliau apabila dihubungi oleh The Star.
Wan Hassan turut menambah, “Ia akan diletakkan di 157 ibu pejabat polis daerah dan 640 balai polis seluruh negara. Penggunaan BWC juga akan dilaksanakan secara berperingkat bermula Oktober. Kami percaya ia akan dapat digunakan secara penuh oleh anggota MPV dan URB menjelang Mac tahun depan.”
Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa penggunaan BWC akan dijadikan wajib, dan anggota bertugas yang tidak memakainya akan dikenakan tindakan disiplin. Kamera itu juga tidak akan mempunyai fungsi padam dan boleh merakam sehingga tempoh lapan jam.
“penggunaan BWC akan memberi impak positif untuk menghalang tindakan salah laku dan isu berkaitan integriti di kalangan anggota polis dan pegawai. Kamera ini boleh merakam tindakan anggota polis di lapangan, termasuk sebarang salah laku,” kata Wan Hassan.
Beliau juga memberitahu bahawa prosedur operasi standard (SOP) penggunaan BWC ini sedang dimuktamadkan dan ia penting bagi memastikan segala arahan adalah jelas dan pelaksanaannya dapat dipatuhi.
The post Anggota PDRM akan pakai kamera di badan bermula Okt 2024 – wajib waktu bertugas, tiada fungsi padam appeared first on Paul Tan's Automotive News.
0 Comments