Divisi mewah Geely, Lynk & Co secara rasminya kini sudah pun masuk ke pasaran ASEAN dengan terlebih dahulu bertapak di Vietnam. Jenama dari China berkenaan beroperasi di negara tersebut dengan rakan kerjasama tempatan iaitu Greenlynk, anak syarikat firma pembinaan dan kejuruteraan dari Vietnam.
Barisan model yang akan dijual di negara berkenaan masih belum dinyatakan dengan jelas dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan. Namun ketika pelancaran jenama itu di outlet pertamanya yang terletak di Hanoi, Lynk & Co dilihat telah membawa sebuah SUV Lynk & Co 09.
Bagi Lynk & Co 09, ia adalah model yang diasaskan dari SUV flagship Volvo iaitu XC90, dibina dari platform Scalable Premium Architecture (SPA). Di China, 09 ditawarkan dalam pelbagai varian bermula dengan enjin 2.0 liter turbo berkuasa 254 PS sehingga versi dengan enjin 2.0 liter turbo dan supercharger bersama sistem hibrid plug-in (PHEV) menghasilkan 519 PS.
Selain dari fasiliti di Hanoi ini, Lynk & Co turut merancang bagi membuka satu lagi outlet di Ho Chi Minh City tahun hadapan. Malah jenama itu turut ada menyebut bahawa ia juga merancang untuk masuk ke pasaran Filipina selepas ini – satu lagi negara yang menggunakan konfigurasi pemanduan sebelah kiri (LHD) dalam rantau ASEAN.
Model-model Lynk & Co ini sudah beberapa kali dilihat berada di Malaysia sejak 2019 lagi. Beberapa model seperti 01, 02, 03 dan sedan berprestasi 03+ dilihat ‘merayau’ di jalan-jalan raya awam menggunakan trade plate yang biasa digunakan oleh unit-unit prototaip ujian Proton, namun kesemuanya masih dalam versi LHD di bawa terus dari China.
Lynk & Co turut sudah berada di pelbagai negara Eropah, namun ia hanya akan dilancarkan di United Kingdom pada 2024 kerana masih belum ada mana-mana model Lynk & Co dihasilkan dalam versi pemanduan sebelah kanan (RHD). Berdasarkan perancangan Geely ketika mengambil alih 49.9% kepentingan dalam Proton, model-model RHD Lynk & Co tersebut mungkin akan dibangunkan dan diproduksi oleh fasiliti di Tanjung Malim kerana Proton dirancang untuk menjadi hab RHD Geely bagi pasaran global.
The post Divisi mewah Geely, Lynk & Co kini di ASEAN; Vietnam dapat dulu, perkenal SUV 09, kembar Volvo XC90 appeared first on Paul Tan's Automotive News.
0 Comments