Susulan langkah menghentikan sementara keseluruhan produksinya di Jepun kerana skandal ujian keselamatan yang dikesan, Daihatsu dilihat bakal berhadapan dengan masalah kewangan pula selepas ini. Menurut laporan Nikkei Asia, pembuat kereta kompak dari Jepun itu dianggar akan mengalami kerugian bernilai lebih dari 100 bilion yen (RM3.2 bilion) bukan sahaja kerana penutupan kilang, malah melibatkan bayaran pampasan kepada pembekal-pembekalnya.
Buat masa sekarang Daihatsu masih belum mengumumkan tarikh tepat bila produksi di Jepun berkenaan akan beroperasi semula, namun menerusi kenyataan sebelum ini ia menjangka penangguhan tersebut akan berlangsung sekurang-kurangnya sehingga akhir Januari 2024. Namun di Indonesia dan juga Malaysia, produksi dan penghantaran kereta baharu kepada pelanggan dilaporkan telah bersambung semula.
Di samping kehilangan jualan domestiknya sendiri, Daihatsu akan berunding dengan pembekal mengenai pampasan yang akan diberikan kepada mereka kerana kehilangan pendapatan, dan ia dijangka memakan kos yang tinggi. Selain itu, pelbagai perbelanjaan lain yang melibatkan penyiasatan dan ujian keselamatan tambahan turut akan dimasukkan ke dalam tambahan kos tersebut.
Bagi tahun fiskal 2022, Daihatsu mengumumkan keuntungan operasi disatukan mencapai jumlah 141.8 bilion yen (RM4.6 bilion), manakala keuntungan bersih pula adalah sebanyak 102.2 bilion yen (RM3.3 bilion). Namun sekiranya beban kewangan yang terlalu tinggi menimpa syarikat tersebut disebabkan skandal ini, ia mungkin akan menyebabkan Daihatsu mencatatkan kerugian pertamanya dalam tempoh 30 tahun.
Daihatsu mungkin tidak akan menghadapi sebarang masalah aliran tunai serta-merta kerana setakat akhir Mac, aset cair syarikat itu ditolak liabiliti yang perlu dibayar balik adalah berjumlah lebih 500 bilion yen (RM16.2 bilion).
Namun ia mungkin akan menghadapi masalah dalam jangka masa panjang kerana pengeluaran dan jualan bukan satu-satunya perkara yang perlu dibimbangkan oleh Daihatsu. Skandal yang muncul semula selepas penyiasatan keselamatan yang dijalankan oleh panel bebas tersebut telah menemui isu yang melibatkan 64 model, seterusnya ia menarik lebih perhatian pihak pengawal selia.
Kementerian pengangkutan Jepun kini sedang menjalankan siasatannya sendiri dan telah mengarahkan Daihatsu untuk menghentikan penghantaran sehingga keselamatan kenderaannya dapat disahkan, satu proses yang mungkin berlarutan selama berbulan-bulan. Selain itu, syarikat itu boleh menghadapi penalti lain, termasuk pembatalan pensijilan yang diperlukan untuk pengeluaran besar-besaran.
The post Daihatsu dianggar rugi RM3.2 bilion kerana produksi dihentikan, k’jaan Jepun kini mulakan siasatan sendiri appeared first on Paul Tan's Automotive News.
0 Comments