Jualan kenderaan di M’sia pada Ogos 2023 naik 13%

Jualan kenderaan di M’sia pada Ogos 2023 naik 13%

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan data jualan kenderaan bagi Ogos 2023, yang menyaksikan sebanyak 71,745 unit telah dihantar kepada pembeli pada bulan tersebut. Angka ini menunjukkan lebih 8,069 unit berbanding 63,676 unit yang direkodkan oleh MAA pada Julai lalu, mewakili kenaikan sebanyak 12.67% melebihi bulan sebelumnya.

Persatuan ini berkata, lonjakan angka yang dicatatkan pada bulan lalu disebabkan penambahbaikan dalam rantaian bekalan, membolehkan produksi dipertingkatkan. Selain itu, kempen promosi oleh sesetengah syarikat kereta sempena dengan Hari Kebangsaan turut membantu melonjakkan angka jualan.

Berbanding bulan yang sama pada 2022, Ogos 2023 turut mencatatkan peningkatan sebanyak 6.12% (atau 4,136 unit berbanding 67,609 unit yang dicapai pada tahun lalu. Sementara itu, jumlah keseluruhan industri (TIV) untuk lapan bulan pertama 2023 pula kini pada 501,522 unit, lebih tinggi sebanyak 52,263 unit (atau 11.6%) berbanding 449,289 unit yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun lalu.

Dengan pencapaian angka jualan setakat ini, sasaran TIV untuk keseluruhan 2023 iaitu 725,000 unit lebih mudah untuk dicapai. MAA turut meramalkan jualan bagi September ini akan lebih kurang sama dengan rekod yang dicapai pada Ogos.

The post Jualan kenderaan di M’sia pada Ogos 2023 naik 13% appeared first on Paul Tan's Automotive News.


Post a Comment

0 Comments