Sarawak mula laksana ujian pemanduan trem pintar prototaip ART berkuasa hidrogen pertama di dunia

Sarawak mula laksana ujian pemanduan trem pintar prototaip ART berkuasa hidrogen pertama di dunia

Kerajaan Negeri Sarawak menerusi Sarawak Metro Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), telah memulakan ujian pemanduan trem pintar prototaip Transit Aliran Autonomi (ART) yang diberi nama Bulan di Kuching Isthmus sejak semalam. Ia merupakan latihan kejuruteraan yang akan dilaksanakan sehingga 31 Oktober 2023.

Trem ART tiga gerabak berkuasa hidrogen ini adalah untuk kegunaan projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) yang bernilai RM6 bilion bagi menangani masalah kesesakan lalu lintas di kawasan Kuching dan Samarahan.

Dalam masa yang sama, kerja-kerja pembinaan laluan untuk trem terbabit sedang giat dijalankan dengan Laluan Biru sepanjang 27.6 km menghubungkan Rembus di Kota Samarahan ke stesen pertukaran Hikmah di pusat bandar raya. Manakala Laluan Merah sepanjang 12.3 km pula bagi perjalanan dari Kuching Sentral ke Pending manakala Laluan Hijau sepanjang 30km bagi perjalanan dari Pending ke Damai di Santubong.

Sarawak mula laksana ujian pemanduan trem pintar prototaip ART berkuasa hidrogen pertama di dunia

TRem ART ini dibangunkan oleh China Railway Rolling Stock Corporation (CRRC) Zhuzhou Electric Locomotive Research Institute Co Ltd. Ia merupakan trem pertama yang menggunakan sistem kuasa tenaga hidrogen.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin berkata prototaip itu telah dipasang sepenuhnya dalam tempoh dua minggu selepas tiba di Terminal Senari di sini pada 5 Ogos dari Pelabuhan Shanghai. Tambahnya, trem pintar itu akan menjalani latihan kejuruteraan dari 4 September hingga 31 Oktober di satu lingkaran di Jalan Keruing yang melepasi Menara LCDA, Menara SEDC, Menara Sarawak Energy dan Pusat Konvensyen Borneo Kuching.

Tambahnya lagi, kenderaan prototaip itu akan diletakkan di Terminal Pending Lembaga Pelabuhan Kuching sehingga tamat tempoh latihan kejuruteraan pada Oktober. Pada November, kenderaan prototaip itu akan dipindahkan ke Kota Samarahan untuk latihan POC selama sebulan di lorong khusus tetap sepanjang tiga kilometer di Kuching-Samarahan Expressway, laporan Borneo Post.

Sarawak mula laksana ujian pemanduan trem pintar prototaip ART berkuasa hidrogen pertama di dunia

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, menamakan trem tersebut sebagai ‘Bulan’, sempena dengan nama keretapi pertama Sarawak yang beroperasi mulai 1841 hingga 1946, sebelum perkhidmatannya ditamatkan ketika zaman penjajahan Jepun.

Sarawak Metro telah memaklumkan bagi menyajayakan latihan kejuruteraan prototaip ART ini, beberapa jalan di sekitar Ishtmus Kuching akan ditutup hingga 31 Oktober ini. Sehubungan itu, Sarawak Metro menasihatkan pengguna jalan raya supaya berhati-hati semasa memandu di dalam kawasan Isthmus, selain mematuhi semua arahan pengurusan trafik sepanjang tempoh prototaip kejuruteraan ART dijalankan untuk memastikan keselamatan masing-masing.

The post Sarawak mula laksana ujian pemanduan trem pintar prototaip ART berkuasa hidrogen pertama di dunia appeared first on Paul Tan's Automotive News.


Post a Comment

0 Comments