Honda Malaysia capai pengeluaran ke sejuta unit dari kilang Pegoh — Civic RS jadi model bertuah

Selepas 20 tahun Honda Malaysia beroperasi di sini, syarikat itu kini melakarkan sejarah tersendiri melalui pencapaian 1 juta unit pengeluaran kenderaannya di Malaysia, dari kilang di Pegoh, Melaka. Syarikat itu memulakan pemasangan kenderaan tempatan di sini sejak 2003. Model Civic RS terbaru menjadi unit ke-1 juta yang dikeluarkan dan diraikan dalam majlis khas hari ini.

Pencapaian ini sangat bermakna, dan disambut hanya selepas setahun Honda Malaysia mencatatkan satu lagi pencapaian lain yang sama penting, iaitu jualan ke-1 juta unit kenderaan mereka di negara ini sejak awal bertapak dahulu.

Honda Malaysia membuka jalur pengeluaran No. 1 di kilang Pegoh pada Januari 2003. Ia memanfaatkan kawasan dengan keluasan keseluruhan 46,543 meter persegi dengan kapasiti pengeluaran 50,000 unit kenderaan setahun. Model Honda pertama yang dikeluarkan dari kilang ini adalah CR-V generasi kedua.

Kemudian, pada Oktober 2013, Honda Malaysia mengeluarkan pula Jazz Hybrid melalui jalur No. 2 kilang ini yang dibangun di atas kawasan berkeluasan 49,190.5 meter persegi. Jalur pemasangan kedua ini mula dirasmikan pada Januari 2014, dan pertambahan itu melibatkan peningkatan kapasiti pengeluaran tahunan di kilang Pegoh kepada 100,000 unit setahun.

Ini membolehkan Honda memasang tujuh model berbeza untuk menepati permintaan pelanggan temaptan, termasuk — City, City Hatchback serba baru, Civic serba baru, Accord, BR-V, HR-V dan CR-V. Kilang ini juga berkemampuan untuk memasang model berbeza dalam satu masa.

Kilang ini juga mempunyai teknologi pemasangan yang setanding dengan kilang Honda di Jepun, bertujuan untuk mengeluarkan kenderaan dengan kualiti tinggi yang sama untuk dinikmati pelanggan. Untuk itu, Honda Malaysia banyak melabur untuk peralatan dan teknologi canggih di kilang Pegoh.

Antara lain turun menampilkan teknologi maju seperti Laser Brazing untuk mendapatkan garis bumbung yang lebih halus dan kemas. Selain itu, teknologi Inner Frame Welding turut digunakan untuk mempertingkat ketahanan badan kereta, sementara Spray Polyurethane Foam mengurangkan kebisingan dan gegaran pada model kenderaan Honda.

Menuju ke depan, Honda Malaysia akan terus memanfaatkan teknologi maju dalam pengeluaran kenderaannya, dengan menerapkan teknologi e:HEV, pengecas turbo VTEC, Honda Sensing dan Honda Connect ke dalam dalam barisan modelnya untuk melangkaui jangkaan pelanggan. Ini komitmen yang diberikan oleh jenama Jepun ini untuk pasaran tempatan.

“Sokongan yang menggalakkan daripada semua pihak berkepentingan yang terlibat telah membantu Honda Malaysia terus bergerak ke depan dan membolehkan kami muncul sebagai pendahulu bagi segmen Kenderaan Penumpang Bukan Nasional di sini untuk lapan tahun berturut-turut sejak 2014,” ujar Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Madoka Chujo.

The post Honda Malaysia capai pengeluaran ke sejuta unit dari kilang Pegoh — Civic RS jadi model bertuah appeared first on Paul Tan's Automotive News.


Post a Comment

0 Comments