Toyota Camry facelift 2022 akan dilancarkan 9 malam ini – terima enjin Dynamic Force bersama TSS 2.5+?

Seperti yang diumumkan minggu lalu, malam ini secara rasmi UMW Toyota Motor akan melancarkan model facelift untuk Toyota Camry generasi kelapan bagi pasaran Malaysia. Berbanding imej teaser hanya menampilkan lampu hadapan tempoh hari, pagi ini UMWT memaparkan secara keseluruhan muka hadapan Camry facelift 2022 tersebut bagi menambah debaran pelancarannya.

Seperti yang anda boleh lihat, Camry facelift ini diberikan bampar hadapan baharu dengan rombakan rekaan dibuat pada gril sebelah bawah, yang lebih menyerlahkan lagi liang pengambilan udara berkenaan. Jika mengambil model facelift pasaran Thailand yang telah pun dilancarkan pada Oktober tahun lalu sebagai rujukan, model pasaran Malaysia ini mungkin diberikan rim rekaan baharu bersama lampu belakang yang digelapkan sedikit.

Antara tingkat taraf perincian dalaman yang boleh dijangka untuk model facelift ini termasuk skrin sesentuh bagi sistem infotainmen yang lebih besar. Ia juga mungkin akan diberikan sistem bantuan pemanduan yang dikemaskini iaitu Toyota Safety Sense 2.5+ yang menampilkan pengesan pejalan kaki waktu malam, pengesan penunggang basikal waktu siang dan juga cruise control adaptif yang dipertingkat, sama seperti versi pasaran Thailand.

Toyota Camry facelift 2022 pasaran Thailand

Tiada sebarang perincian teknikal diumumkan oleh UMWT buat masa sekarang, tetapi syarikat tersebut membayangkan bahawa Camry facelift ini akan menerima enjin baharu 2.5 liter Dynamic Force, bagi menggantikan enjin 2AR-FE yang sudah digunakan sejak generasi keenam.

Enjin A25A-FKS 2.5 liter NA Dynamic Force yang telah pun digunakan pada Camry pasaran lain termasuk Thailand, Australia dan Amerika Syarikat berkenaan menerima sistem suntikan terus D-4S serta nisbah mampatan 13:1 membolehkan ia mencapai keberkesanan suhu sehingga 40%.

Ia juga menghasilkan kuasa yang lebih besar iaitu 209 PS pada takat 6,600 rpm dan tork maksima 250 Nm pada takat 5,000 rpm, atau 25 PS/18 Nm lebih berkuasa dari sebelum ini. Enjin tersebut turut dipadankan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan Direct Shift 8AT baharu bagi menggantikan kotak gear enam kelajuan automatik sebelum ini.

Apa pun, kita tunggu sahaja pelancaran rasminya pada pukul 9 malam nanti untuk spesifikasi penuh dan juga harga bagi model kemaskini berkenaan. Anda boleh tonton secara langsung menerusi media sosial rasmi Toyota Malaysia, atau anda boleh sahaja menunggu laporannya dari kami.

The post Toyota Camry facelift 2022 akan dilancarkan 9 malam ini – terima enjin Dynamic Force bersama TSS 2.5+? appeared first on Paul Tan's Automotive News.


Post a Comment

0 Comments