Pasaran sedan sudah tidak meriah macam dulu. Buat masa sekarang, sedan yang betul-betul boleh jual adalah dalam kelas segmen-B seperti Toyota Vios dan juga Honda City. Untuk segmen-C, hanya Honda Civic yang betul-betul laku, sementara pencabarnya yang lain seperti Toyota Corolla dan Mazda 3 cuma sekali sekala boleh kita lihat atas jalan raya.
Ini semua angkara SUV. Boleh kata pembeli model-model sedan yang dijual pada harga bermula RM100k hingga RM150k sebelum ini sudah beralih untuk membeli SUV. Segmen-C pun dah kurang memberangsangkan, apatah lagi segmen-D kan? Bagi model sedan buatan Jepun/Korea yang boleh dikatakan mewah dalam kelas ini bukan sahaja perlu bersaing dengan SUV, malah mereka juga diancam dengan model-model sedan Eropah yang mula masuk ke pasaran entry level seperti Mercedes-Benz A-Class sedan dan juga BMW 2 Series Gran Coupé.
Walaupun dihimpit oleh bahagian pasaran yang semakin mengecil, Toyota Camry masih kekal bertahan di Malaysia. UMWT telah membawa model generasi ke-lapan Toyota Camry ke pasaran Malaysia pada November 2018, dan minggu ini versi facelift 2022 secara rasminya telah dilancarkan di sini.
Rasanya semua setuju, antara semua generasi Camry, model terbaharu ini merupakan versi yang paling handsome. Malah jika dibandingkan dengan seteru utamanya iaitu Honda Accord generasi ke-10, Camry tampil lebih menarik dan buat pertama kali ia nampak lebih ‘muda’, meninggalkan imej ‘uncle-uncle’ pada model-model sebelum ini.
Bukan sahaja nampak lebih kacak, Camry ini juga hadir dengan teknologi paling canggih dan ia diasaskan dari platform Toyota New Global Architecture (TNGA). Model facelift 2022 diberikan pelbagai lagi penyegaran perincian lebih baik termasuk unit rangkaian kuasa baharu yang lebih efisien dan lebih berkuasa, bagi memastikan ia terus relevan dalam pasaran.
Dengan pasaran yang menjadi semakin niche, Camry facelift 2022 masih mengekalkan penawaran varian tunggal dengan spesifikasi penuh iaitu 2.5V. Ia dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM199,109.50, lengkap dengan pengecualian cukai jualan dari kerajaan sehingga akhir Jun 2022. Jadi berbanding model sebelum ini, harga Camry baharu ini adalah sekitar RM2.2k lebih mahal, dan ia juga hampir RM12k lebih mahal berbanding model tertinggi Honda Accord iaitu varian 1.5 TC-P.
Sebelum ia dilancarkan secara rasmi minggu ini, kami sebenarnya terlebih dahulu diberi peluang untuk memandu sedan ini seminggu sebelum itu dalam satu sesi pandu uji media. Ia adalah sesi ringkas dengan pemanduan sejauh kira-kira 500 km, bermula dari ibu pejabat UMW Toyota di Shah Alam ke Gambang, Pahang kemudian berpatah balik. Jadi untuk ulasan pandu uji kali ini, ia hanyalah bersifat pandangan awal penulis, dan bukan pengalaman lebih mendalam terhadap Camry ini.
Jika kita sekali tengok, agak sukar untuk membezakan rupa luaran Camry 2022 ini dengan model terdahulu. Perbezaan nyata yang dapat dilihat adalah pada bahagian rim yang semakin kacak. Model facelift ini diberikan set rim aloi 18-inci; masih menampilkan diameter sama seperti model terdahulu, tetapi menerima rekaan baharu bersama kemasan dua-tona (hitam-aloi digilap) berbanding kemasan perak untuk versi sebelumnya.
Jika anda lihat dengan lebih teliti, bampar hadapan untuk Camry facelift ini juga sebenarnya berbeza dari model sebelum ini, terutama pada bahagian gril atas dan juga gril bawah. Model baharu ini juga diberikan lampu belakang dengan lensa lebih gelap bagi menonjolkan lagi imej lebih garang. Selain dari itu, perincian luaran lain masih nampak sama seperti model sebelum facelift.
Antara perincian luaran lain yang terus dibawa semula kepada model facelift ini termasuk termasuk lampu utama bi-LED projector automatik, lampu nyalaa siang, lampu kabus dan lampu belakang LED, cermin sisi yang boleh dilipat secara automatik, pengelap cermin automatik dan dua tip ekzos kemasan krom di belakang.
Dalam kabin juga sekali imbas perubahan yang diberikan untuk versi kemaskini ini tidak terlalu banyak. Ia masih diberikan papan pemuka yang sama, kecuali skrin infotainmen Display Audio lebih besar kini dengan ukuran 9.0-inci (7.0-inci sebelum ini), yang turut disokong hubungan Android Auto dan Apple Carplay. Bagi memuatkan skrin lebih besar tersebut, ia kini dipasang pada posisi ‘berdiri sendiri’ dengan liang penghawa dingin tengah dialihkan ke bawah.
Perincian lain seperti bentangan meter analog Optitron dengan skrin pelbagai informasi berwarna tujuh-inci di tengah, paparan HUD pada cermin hadapan, sistem audio JBL, tempat duduk penumpang hadapan larasan elektrik lapan hala, tempat duduk pemandu larasan kuasa 10-hala dengan fungsi memori (dua slot), pngecas telefon pintar tanpa wayar, upholsteri kulit lembut hitam dan pelbagai lagi adalah kekal sama.
Namun perubahan yang paling besar untuk Camry facelift ini adalah pada bahagian belakang. Ia menerima tempat duduk belakang yang boleh direbahkan sedikit kebelakang untuk lebih keselesaan, dengan larasan secara elektrik yang boleh dibuat apabila anda menurunkan perehat tangan pada bahagian tengah.
Selain dari untuk mengawal larasan perehat belakang tempat duduk, perehat tangan tersebut turut menyediakan dua pemegang cawan, suis kawalan pelindung matahari pada cermin belakang, kawalan sistem audio dan juga kawalan sistem pendingin hawa – bermakna ia kini menerima sistem kawalan suhu kabin tiga zon.
Untuk sistem mekanikal, Camry 2022 ini tidak lagi menggunakan enjin 2AR-FE 2.5 liter yang sudah digunakan sejak model generasi keenam, sebaliknya ia menerima enjin baharu dari siri Dynamic Force iaitu unit A25A-FKS empat-silinder 2.5 liter. Ini bermakna Camry pasaran Malaysia sudahpun diberikan enjin terkini sama seperti model pasaran Thailand. Enjin ini juga telah berada dalam perut Lexus ES pasaran Malaysia.
Enjin Dynamic Force 2.5 liter NA ini menampilkan sistem injap bervariasi VVT-iE pada injap kemasukan dan juga VVT-i pada injap ekzos dan sistem suntikan terus D-4S. Ia mampu menjana 209 PS pada takat 6,600 rpm dan tork maksima 253 Nm pada takat 5,000 rpm. Jadi berbanding enjin 2.5 liter sebelum ini, enjin baharu tersebut menghasilkan kuasa 25 PS/18 Nm lebih besar.
Ini juga bermaksud Camry kini dibekalkan kuasa lebih besar dari Accord kerana enjin 1.5 liter VTEC Turbo pada sedan segmen-D Honda tersebut hanya menjana 201 PS. Namun tork yang dibekalkan pada Honda Accord masih lebih besar dengan jumlah 260 Nm.
Enjin baharu ini juga dipadankan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan Direct Shift 8-AT bagi menggantikan kotak gear auto enam-kelajuan sebelum ini. Menurut Toyota, kotak gear tersebut bukan sahaja menawar nisbah gear lebih luas, malah ia sebenarnya dihasilkan dengan saiz yang lebih kompak.
Jadi ketika memandu Camry ini kuasa bukan menjadi masalah – 209 PS kot, besar sangat dah tu untuk sebuah sedan ‘ayah-ayah’. Enjin NA berkapasiti besar tersebut memberikan kuasa yang linear dan tenang, tidak seperti enjin turbo yang memberikan tujahan boost pada rpm rendah. Tapi jangan diduga, kerana enjin tersebut mampu memberikan kuasa yang responsif pada peringkat rpm pertengahan.
Padanan kuasa, tork dan juga nisbah gear membuatkan anda akan berasa tenang ketika memandu kereta ini secara cruising di atas lebuh raya. Kelajuan malar 110 km/j dapat dicapai dengan putaran enjin pada tahap sekitar 1,500 rpm, dan anda mungkin tak sedar sekiranya di saman atas kesalahan memandu melebihi had laju kerana kelajuan 140 km/j dicapai dengan enjin hanya dikerah pada sekitar 2,500 rpm.
Camry 2022 ini turut memberikan pilihan mod Sport selain dari pilihan Eco dan Normal. Namun apa yang penulis rasakan, mod Sport yang diberikan tidaklah benar-benar sporty. Ia hanya membuatkan gear rendah di tahan lebih lama sedikit bagi memberikan pecutan lebih cepat ketika diperlukan atau pun memudahkan kawalan pendikit ketika meredah selekoh, tanpa memberikan respon pendikit mahupun tukaran gear yang benar-benar agresif.
Toyota menyatakan bahawa platform TNGA ini dihasilkan dengan titik graviti yang cukup rendah. Ini bukan tipu. Pertama sekali, anda boleh rasa posisi pemanduan pada Camry ini yang agak rendah dan memang cukup sporty. Duduk di tempat duduk pemandu Camry ini memang berbeza dengan model-model generasi sebelum ini, tak pernah lagi Camry datang dengan posisi pemanduan macam kereta sport begini.
Kemudian ketika meredah laluan berliku di Lebuh raya Karak, Camry memberikan daya olengan yang cukup minima ketika ia dipandu laju di selekoh kerana direka dengan titik graviti rendah, walaupun tetapan suspensi yang diberikan adalah lembut dan tertumpu pada aspek keselesaan. Jadi untuk pengedalian, boleh dikatakan ia adalah sebuah kereta yang boleh dinikmati untuk ‘melayan’ jalan berliku.
Satu lagi aspek yang benar-benar saya rasakan cukup baik pada Camry ini adalah pada bahagian tempat duduk belakang. Kali ini bahagian berkenaan benar-benar dibuat untuk ‘bos-bos’. Seperti yang telah dinyatakan tadi, tempat duduk belakang ini boleh direbahkan sedikit kebelakang bagi memberikan posisi duduk yang lebih relaks, serta suhu pendingin hawa di kabin belakang dan juga sistem audio boleh dikawal menerusi panel suis pada perehat tangan.
Bukan itu sahaja, sekiranya anda duduk pada posisi belakang sebelah kiri, anda turut boleh melaras kedudukan tempat duduk hadapan menerusi suis pada sebelah kanan bagi memberikan ruang kaki yang lebih luas. Walau bagaimanapun, penulis agak terkejut kerana motor dan mekanisma elektrik untuk melaras tempat duduk belakang ini agak bising ketika beroperasi.
Seperti tempat duduk pemandu, posisi duduk untuk tempat duduk belakang ini juga berada kedudukan graviti yang agak rendah. Tak pernah lagi pada mana-mana kereta apabila saya duduk di belakang dan ‘bermain’ dengan telefon tanpa merasa pening kepala seperti dalam Camry 2022 ini. Malah ketika kereta ini dipandu laju meredah selekoh di Lebuh raya Karak, saya yang berada di belakang tidak merasa terhuyung-hayang, dan dengan mudah menjadi mengantuk dan tertidur. Memang selesa betul!
Jadi dengan harga hampir RM200k, berbaloi ke untuk sebuah Camry? Fakta atas kertas, dengan harga sedikit murah berbanding model terbaharu ini, tahun lalu Camry adalah sedan segmen-D paling laris di Malaysia walaupun dijual lebih mahal berbanding Honda Accord.
Pada penulis, kelengkapan yang diberikan pada model facelift ini seperti enjin dan kotak gear baharu serta tempat duduk belakang yang lebih mewah adalah lebih bernilai berbanding sedikit kenaikan harga yang dikenakan oleh Toyota. Jadi rasanya tak mustahil Camry akan terus mengekalkankan takhtanya menerusi model kemaskini ini.
Untuk spesifikasi dan kelengakapan penuh Toyota Camry facelift 2022 ini, anda boleh baca semula artikel pelancarannya pada PAUTAN INI, atau anda boleh semak di laman Carbase.my.
GALERI: Gambar rasmi Toyota Camry 2.5 V facelift 2022
The post PANDU UJI: Toyota Camry 2.5 V facelift 2022 dengan enjin baharu – pemandu riang, penumpang gembira! appeared first on Paul Tan's Automotive News.
0 Comments