Peugeot 2008 2022 dilancarkan di Malaysia – CKD; 1.2L turbo dengan 130 hp/230 Nm, AEB; dari RM127k

Petang ini, Bermaz Auto Alliance Sdn Bhd (BAuto), selaku pengedar baharu Peugeot di Malaysia, telah pun melancarkan model 2008 serba baharu untuk pasaran tempatan. SUV segmen-B generasi kedua ini hanya ditawarkan dengan kemasan tunggal Allure, yang dijual pada harga RM126,753 (atas jalan tanpa insurans) dengan 100% pengecualian cukai jualan sehingga 30 Jun 2022.

Menurut BAuto, 2008 2022 yang dipasang di kilang Stellantis di Gurun, Kedah, telah menjalani ujian kualiti dan ketahanan sejauh 200,000 km di Malaysia dengan mengikut kepelbagaian iklim dan landskap alam sekitar. Malahan ia turut dieksport ke pasaran negara jiran iaitu Thailand, Indonesia, Kemboja, Filipina dan Myanmar.

Sama seperti versi Thailand, 2008 2022 untuk Malaysia turut diberikan enjin 1.2 liter PureTech turbo tiga-silinder petrol sebagai penjana kuasa tunggal yang ditawarkan, dengan kuasa 130 hp pada takat 5,500 rpm dan tork 230 Nm pada takat 1,750 rpm. Ia adalah lebih 20 hp dan 25 Nm berbanding model lama.

Tidak seperti kebanyakan pasaran negara lain yang telah diberikan transmisi automatik lapan-kelajuan baharu, 2008 versi Malaysia yang merupakan model pemasangan tempatan (CKD) masih menerima kotak gear lama iaitu transmisi automatik enam-kelajuan dengan pacuan disalurkan ke roda hadapan.

Padanan enjin dan kotak gear berkenaan membolehkan SUV ini dipacu sehingga mencapai kelajuan maksimum 199 km/j. Manakala penggunaan bahan apinya dianggarkan sekitar 4.5 liter bagi setiap 100 km mengikut standard NEDC.

Walau bagaimana pun, buat pertama kalinya, ia diberikan tiga mod pemanduan iaitu Eco, Normal dan Sport. Bagi dimensinya, ia berukuran 4,300 mm panjang, 1,770 mm lebar, 1,550 mm tinggi dan jarak rodanya pula 2,605 mm. SUV ini memiliki jarak kelegaan tanah (ground clearance) mencecah 174 mm.

Untuk bahagian luarannya, 2008 ini diberikan gril radiator krom, teknologi pencahayaan LED penuh dengan iluminasi signitur tiga-cakaran yang merupakan ikonik bagi Peugeot untuk lampu belakang dan hadapan. Selain itu, ia turut menampilkan lampu nyalaan siang LED, bilah pengelap cermin automatik dengan penderia hujan.

Ia turut diberikan lampu kabus belakang jenis mentol, rel bumbung hitam berkilat, pemegang pintu krom dan hitam, spoiler belakang dan roda aloi Black Onyx & Diamond Cut 17-inci dibaluti tayar bersaiz 215/60 R17 yang menambahkan gaya sporty SUV ini. Bukan itu sahaja, ia turut diberikan kemasukan tanpa kunci pintar dengan fungsi Auto-Unlock dan Walk Away Lock, penderia parkir hadapan dan belakang, dan cermin sisi boleh lipat larasan elektronik dengan fungsi haba.

Di dalamnya, ia diberikan kluster instrumen digital “tiga-dimensi” 10-inci secara standard dengan rekaan i-Cockpit. Selain itu, ia juga diberikan butang penghidup enjin, cruise control, roda stereng pelbagai-fungsi balutan kulit dua-jejari berdiameter-kecil, bersama paparan skrin sesentuh tujuh-inci freestanding dengan sokongan Apple CarPlay dan buat pertama kalinya ia diberikan ketersambungan Android Auto.

Kelengkapan lain yang turut diberikan termasuk tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan dengan larasan manual enam-hala, tempat duduk kulit dengan rona hitam, sistem kawalan suhu automatik zon-tunggal, suis brek parkir elektronik dengan penahan brek auto dan skrin sesentuh tujuh-inci untuk sistem infotainmen dengan kawalan suara.

Kelengkapan lain termasuk enam-pembesar suara, kemasan pemuka ala gentian karbon, port pengecas USB-A, pencahayaan ambien, dua pemegang cawan pada konsol tengah serta perehat tangan di tengah dengan jahitan kontras.

Bagi sistem keselamatan, 2008 serba baharu ini dilengkapi dengan bantuan pemandu termaju, seperti brek kecemasan sendiri berasaskan kamera (digelar Brek Keselamatan Aktif), bantuan kekal lorong aktif, amaran perhatian pemandu, sistem pemantauan titik buta, dan bantuan lampu tinggi.

Selain itu, ia juga didatangkan dengan kamera pandangan belakang 180 darjah Visiopark 1, enam beg udara, ABS dengan EBD, Kawalan Kestabilan Dinamik (DSC), Bantuan Brek Kecemasan (EBA), Anti-Skid Regulation (ASR), Bantuan Mula Mendaki (HSS), Amaran Pemakaian Tali Pinggang Keledar, dan cagak ISOFIX.

Barisan 2008 baharu ini ditawarkan dengan empat warna pilihan iaitu Amazonite Grey, Pearl White, Nera Black dan warna eksklusif Orange Fusion. Dengan harga bermula RM126,753, ia turut didatangkan dengan waranti penyelenggaraan servis percuma selama tiga-tahun/60,000 km (yang mana tiba terlebih dahulu) dengan waranti pengilangan standard lima-tahun, dengan tempoh perlindungan sehingga lima tahun atau had perbatuan sehingga 100,000 km (yang mana tiba terlebih dahulu).

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai spesifikasi dan perincian penuh Peugeot 2008 2022, sila layari Carbase.my.

GALERI: Foto rasmi Peugeot 2008 2022

The post Peugeot 2008 2022 dilancarkan di Malaysia – CKD; 1.2L turbo dengan 130 hp/230 Nm, AEB; dari RM127k appeared first on Paul Tan's Automotive News.


Post a Comment

0 Comments