PEKEMA sasar jual 500 unit Tesla setahun sepanjang tempoh sifar cukai EV, Model 3 di M’sia dari RM288,888

Dengan pengumuman pengecualian cukai dan eksais selama dua tahun untuk kereta EV oleh kerajaan seperti yang dibentangkan dalam Belanjawan 2021 oleh kerajaan Oktober lalu, pengeluar dan pengimport kenderaan kini dalam mod yang sangat rancak untuk memperkenalkan model EV untuk pasaran tempatan.

Hyundai menjadi antara yang terawal memanfaatkan pengecualian cukai ini dengan melancarkan Kona Electric bulan lalu untuk pasaran tempatan dengan harga bermula dari RM150k, dan sejak itu sudah menerima tempahan yang menggalakkan daripada pelanggan. Persatuan Pengimport & Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) juga tidak menunggu lama untuk mengumumkan dan mengambil tempahan bagi model kenderaan Tesla untuk di bawa masuk ke sini.

Sejak pengumuman tersebut, PEKEMA — yang turut ikut serta dalam pameran ketika majlis pelancaran Tindakan Pembangunan Bumiputera (TPB) 2030 — telah mengambil hampir 40 unit tempahan bagi kenderaan Tesla, dengan Tesla Model 3 dan Tesla Y menjadi yang paling popular. Dan, harga bagi Tesla Model 3 juga menarik, dijual pada harga bermula RM288,888 bagi unit baru yang dibawa masuk dari Hong Kong.

Selain itu, PEKEMA juga mempunyai kuota untuk membawa masuk dari UK, dengan Model 3 versi ini dijual pada harga bermula dari RM323,928. Terdapat perbezaan spesifikasi infotainmen antara kedua-dua versi ini, yang menyaksikan unit dari Hong Kong tidak dilengkapi dengan sistem hiburan seperti versi dari UK berkenaan — dan menyumbang kepada perbezaan harga berkenaan. Semua unit yang ditempah setakat ini dijangka akan tiba dan diserahkan kepada pemilik bermula Januari 2022 nanti.

Bagaimana dengan jaminan bagi model Tesla yang dibeli daripada PEKEMA ini? Menurut Naib Presidennya, Raja Petra Marudin, setiap unit yang dibawa masuk oleh PEKEMA adalah unit baru dan bukannya terpakai. Dan untuk itu, jaminan yang diberikan juga sama dengan jaminan antarabangsa yang diberikan oleh Tesla — lapan tahun untuk bateri/motor elektrik (yang boleh dituntut daripada negara asal kereta berkenaan) dan juga jaminan empat tahun bagi hardware lainnya.

Harga jualan ini juga telah termasuk dengan kos pengangkutan (sekiranya perlu dihantar ke Tesla Singapura atau negara asal kereta terbabit) untuk masalah major yang mungkin berlaku, secara one-off atau sekali sahaja. “Tetapi, sejak PEKEMA bawa masuk kenderaan Tesla pada 2019 lagi, kami belum pernah berhadapan dengan masalah besar yang memerlukan khidmat berkenaan dilakukan. Cuma, jika perlu, maka PEKEMA boleh membantu dan mengaturkannya untuk pelanggan,” ujar beliau.

Antara sokongan lain yang turut disediakan oleh PEKEMA kepada pelanggannya adalah khidmat pemasangan kad SIM penyedia telekomunikasi tempatan ke dalam kereta (untuk membolehkan kemaskini secara OTA sistem yang digunakan), memuat turun dan membuat tetapan bagi aplikasi Tesla untuk kegunaan telefon pintar pelanggan, kemaskini sistem peta dan navigasi untuk kegunaan di Malaysia (misalnya bagi unit yang didatangkan dari UK dengan peta di sana) serta naiktaraf peranti dan perisian bagi sistem yang digunakan pada kereta mereka — walaupun semua ini melibatkan kos berasingan kepada pelanggan.

Bagi mengesan masalah yang mungkin ada juga, khidmat remote diagnosis terhadap kenderaan juga boleh dilakukan. “Sistem yang digunakan Tesla membolehkan keretanya didiagnos dari jauh untuk tujuan mengesan masalah yang mungkin ada, dan laporan tersebut akan diserahkan kepada pelanggan.

Sekiranya memerlukan gantian alat atau komponen, kami juga boleh mendapatkannya untuk pelanggan,” tambah beliau. Tidak lupa, juruteknik PEKEMA juga ada yang dihantar ke Tesla Singapura untuk mempersiapkan mereka menangani masalah yang mungkin dihadapi oleh pelanggan, dan dalam keadaan tertentu, juruteknik ini boleh ke rumah pelanggan untuk kerja-kerja baik pulih minor yang diperlukan.

“Dalam bahasa mudah, pelanggan tidak perlu khuatir selepas membeli model Tesla daripada kami, kerana PEKEMA akan membantu sekiranya mereka memerlukan sokongan selepas jualan untuk kenderaan yang dimiliki itu,” tambahnya, dengan memberi penekanan bahawa untuk mencari alat ganti tulen Tesla untuk pelanggan juga boleh dilakukan oleh pihaknya.

Selain itu, pelanggan mereka juga boleh menikmati kemudahan pengecasan pantas DC yang disediakan di premis-premis ahli PEKEMA di seluruh negara. Ketika ini terdapat tujuh stesen pengecas seumpamanya, dan menjelang hujung tahun ini jumlah berkenaan akan meningkat kepada 12 stesen pengecas untuk kemudahan pelanggan.

Sepanjang tempoh pengecualian cukai EV selama dua tahun akan datang ini, PEKEMA mensasarkan untuk menjual 500 unit Tesla setahun. Untuk itu, syarikat itu juga sedang berusaha untuk membawa masuk unit Tesla dari pasaran lain juga seperti Australian dan New Zealand. “Kami juga berharap kerajaan dapat mempertimbangkan permohonan kami untuk membawa masuk unit Tesla melalui Tesla Singapura, yang akan memudahkan lagi urusan logistik untuk pelanggan,” tambah Raja Petra lagi.

The post PEKEMA sasar jual 500 unit Tesla setahun sepanjang tempoh sifar cukai EV, Model 3 di M’sia dari RM288,888 appeared first on Paul Tan's Automotive News.


Post a Comment

0 Comments