Mitsubishi ASX generasi baru bakal muncul pada 2023

Mitsubishi ASX yang ada ketika ini sudah berada dalam pasaran sejak 2009 dan kerap diberi kemaskini untuk menjadikannya relevan. Apa yang lebih penting, sudah sampai masa untuk model gantiannya diperkenalkan — tapi itu tidak akan berlaku hingga tahun 2023 untuk pasaran menerima ASX serba baru.

Hal ini dimaklumkan oleh Pengurus Perhubungan Awam dan Pemasaran Mitsubishi Czechia, Marek Vodicka yang bercakap kepada media Republik Czech Auto.cz baru-baru ini. “Sangat positif, dan kami sudah tahu yang ASX baru akan muncul pada awal 2023,” ujarnya.

Menurut beliau, produksi ASX di negara itu telah dihentikan dan model berkenaan tidak lagi disenaraikan dalam laman rasmi Mitsubishi di sana. SUV kompak berkenaan masih lagi dijual di pasaran lain seperti UK, Sepanyol, Amerika Syarikat (dikenali sebagai Outlander Sport) dan Jepun. Sebelum ini ASX juga ada dijual di Malaysia.

Masih belum ada perincian tentang ASX generasi baru ini didedahkan, tetapi ada laporan mencadangkan ia akan menggunakan asas daripada model Renault sedia ada. Sebelum ini, Mitsubishi mengesahkan rancangan untuk mendapatkan dua model daripada Renault untuk pasaran Eropah, yang akan menggunakan jenama Mitsubishi dan dijual di pasaran terpilih di rantau itu pada 2023.

Renault Captur menjadi calon paling dekat untuk menggantikan ASX, sementara Clio dikatakan bakal menjadi asas kepada Mirage baru, yang kekal dala, generasinya yang keenam sejak 2011. Jika ramalan ini benar, ASX baru nanti akan jadi lebih kecil berbanding yang lama, membolehkannya diposisikan di bawah model Eclipse Cross.

The post Mitsubishi ASX generasi baru bakal muncul pada 2023 appeared first on Paul Tan's Automotive News.


Post a Comment

0 Comments