Yamaha Tracer 9 GT kini dijual secara rasmi – RM69k

Yamaha Tracer 9 GT 2021, yang dipertontonkan awal untuk pasaran Malaysia waktu pelancaran T-Max 560 bulan lepas kini sudah ada harganya. Ia dijual secara rasmi pada harga RM69,498 tidak termasuk insurans dan datang dalam dua pilihan warna, iaitu perak dan merah. Jaminan yang diberikan adalah selama dua tahun atau 20,000 km.

Jika dibandingkan dengan Tracer yang dilancarkan pada tahun 2019, Tracer 9 GT ini mencatat peningkatan harga sekitar RM10k, dan ini ditimbal balik dengan pelbagai peningkatan yang menjadikan model baru ini lebih canggih dan berkuasa.

Ia bermula dengan bahagian enjin, di mana sekarang menggunakan enjin tiga silinder Crossplane 3 berkapasiti 890 cc dan mendapat penarafan Euro 5, sama seperti MT-09 2021. Jumlah kuasa yang dihasilkan juga sama iaitu 117 hp pada 10,000 rpm dan 93 Nm tork pada 7,000 rpm.

Sebelum ini, enjin 847 cc yang digunakan pada Tracer 900 menghasilkan kuasa 113 hp dan 87.5 Nm tork, sekaligus memberi makna enjin baru ini mencatat peningkatan tork 7% dan sampai ke puncak pada rpm yang lebih rendah. Enjin baru 890 cc ini juga 1.7 kg lebih ringan dan dipadankan bersama ekzos berkembar yang juga lebih ringan 1.4 kg berbanding ekzos sebelum ini.

Transmisi masih lagi unit enam kelajuan dengan klac jenis assist and slipper, tetapi sedikit perubahan dibuat bagi menjadikan tarikan klac itu lebih ringan. Nisbah gear untuk gear 1 dan gear 2 juga dilaras kembali supaya padan dengan tork yang sudah berubah dan memastikan penukaran lebih lancar.

Satu lagi perubahan besar adalah kedudukan enjin dijadikan lebih tegak pada casis Deltabox, demi memberikan imbangan serta maklum balas yang lebih baik kepada penunggang. Lengan ayun aluminium model baru ini juga direka semula dan mempunyai panjang yang lebih 60 mm. Walaupun begitu, jarak roda masih tidak berubah iaitu 1,500 mm.

Bahagian elektronik juga menunjukkan peningkatan yang jelas. Yamaha telah memasang unit pengukur inertia (IMU) six axis pada Tracer 9 dan unit generasi baru ini 50% lebih kecil dan 40% lebih ringan berbanding unit awal yang digunakan pada model R1 tahun 2015.

IMU digunakan untuk mengawal sistem elektronik seperti mod tunggangan (semuanya ada empat mod), Cruise Control, Traction Control (tiga tahap), Slide Control (tiga tahap), Wheelie Control (tiga tahap) dan pilihan manual untuk melaras semua ciri ini pada tahap yang dimahukan.

Untuk brek, di hadapan menggunakan set berkembar cakera 298 mm manakala di belakang terdapat cakera 245 mm. Sistem ABS disediakan dalam dua mod yang boleh ditukar oleh penunggang sementara rim pula adalah unit 17 inci dengan tayar 120/70 dan 180/55.

Model baru Tracer 9 ini menggunakan panel paparan TFT-LCD yang berbentuk petak dan dibahagikan kepada dua. Informasi berkenaan laju, tahap rpm, tahap minyak dan kedudukan gear ditunjukkan di bahagian kiri manakala bahagian kanan terdapat paparan seperti jarak perjalanan, suhu dan pelbagai lagi. Semua lampu model ini menggunakan unit LED.

Tempat duduk Tracer 9 kini adalah 15 mm lebih rendah dan ia boleh dilaras secara mudah tanpa menggunakan sebarang alat. Peletak kaki juga boleh dilaras sehingga 15 mm sementara pemegang disediakan dalam dua kedudukan.

Model yang tiba di Malaysia ini adalah versi GT, bermakna suspensi Kayaba yang terdiri daripada fork USD 41 mm dan monoshock di belakangnya boleh dilaras sepenuhnya secara elektronik dan diberikan dengan quickshifter serta pemanas tangan. Walaubagaimanapun, beg barangan tidak didatangkan sekali dan dijual sebagai pilihan tambahan.

The post Yamaha Tracer 9 GT kini dijual secara rasmi – RM69k appeared first on Paul Tan's Automotive News.


Post a Comment

0 Comments