Volkswagen T-Roc facelift diperkenal – penampilan diperbaharui, panel infotainmen lebih seperti tablet

Selepas lebih sedikit daripada empat tahun dijual dalam pasaran, Volkswagen T-Roc akhirnya diberikan facelift. Pembaharuan yang diberikan kepada model crossover kompak ini meliputi semua varian termasuklah R dan Cabriolet.

Perubahan yang diberi pada bahagian luar adalah termasuk lampu DRL baru, sementara lampu belakang pula digelapkan sedikit dan pencahayaannya diubah. Model yang datang dengan lampu LED matriks IQ.Light juga akan menerima jalur lampu sepanjang gril, bersama lampu penunjuk arah dinamik.

Skid plate hadapan dijadikan lebih tegap manakala model pakej R-Line juga diberikan dengan lampu kabus menegak. Bampar belakang juga telah diubah dengan kini mempunyai pemantul cahaya petak, kemasan hitam di tengah, diffuser lebih tinggi serta muncung ekzos hiasan.

Pakej R-Line memberikan penampilan yang berbeza, dengan bampar belakang yang mempunyai kemasan hitam panjang di tengah, empat muncung ekzos serta pemantul cahaya menegak. Turut ditambah bagi model baru ini adalah lima warna luaran baru serta pilihan rim dari 17 inci hingga 19 inci.

Masuk ke dalam, panel paparan infotainmen yang boleh didapati dalam saiz 6.5, 8.0 atau 9.5 inci kini direka lebih tegak dan tinggi, sekaligus membuatkan corong pendingin hawa dibawahnya direka semula. Sistem infotainmen menggunakan asas daripada Modular Infotainment Toolkit (MIB3) generasi ketiga, mempunyai sistem servis ketersambungan dan boleh berfungsi bersama Android Auto dan Apple CarPlay.

Perubahan ketara lain adalah seperti papan pemuka dengan permukaan lembut, panel kawalan suhu jenis sesentuh dan roda stereng yang diambil daripada Golf. Panel instrumen digital lapan inci datang secara standard, tetapi ia boleh dinaik taraf kepada unit 10.25 inci dengan pilihan Digital Cockpit Pro.

Dalam keadaan asal, panel pintu dibalut dengan fabrik, tetapi bagi varian Style dan R-Line, ia menggunakan balutan kulit serta jahitan kontras. Model Style Line juga mendapat panel tengah dan tempat duduk dibalut ArtVelours manakala model R-Line ditawarkan dengan pilihan balutan kulit Nappa.

Satu lagi peningkatan yang diberi untuk model facelift ini adalah pada bahagian sistem bantuan pemandu, di mana T-Roc sekarang mendapat IQ.Drive Travel Assist yang boleh memberikan fungsi Predictive Cruise Control (sehingga kelajuan 210 km/j), menyertai fungsi Front Assist dan Lane Assist yang sedia ada.

Tiada perubahan pada sistem penggerak, dengan model permulaan dipacu enjin tiga silinder 1.0 liter turbo 109 hp, diikuti enjin empat silinder 1.5 liter TSI 148 hp dan 2.0 liter TSI 188 hp. Model R yang paling tinggi menggunakan enjin 2.0 liter turbo 296 hp.

Terdapat juga varian yang menggunakan enjin diesel turbo 2.0 liter, dengan pilihan talaan kuasa 114 hp atau 148 hp. Bergantung kepada enjin, transmisi yang disediakan adalah termasuk manual enam kelajuan atau automatik DSG klac berkembar tujuh kelajuan – pacuan empat roda 4Motion disediakan sebagai pilihan, berbanding pacuan dua roda hadapan secara standard.

GALERI: Volkswagen T-Roc Style dan R-Line 2022

GALERI: Volkswagen T-Roc Cabriolet R-Line 2022

GALERI: Volkswagen T-Roc R 2022

The post Volkswagen T-Roc facelift diperkenal – penampilan diperbaharui, panel infotainmen lebih seperti tablet appeared first on Paul Tan's Automotive News.


Post a Comment

0 Comments