Proton jual 15,880 kenderaan pada bulan Ogos 2022 – catatan bulanan tertinggi dalam masa sembilan tahun

Jumlah jualan Proton untuk bulan Ogos 2022 sudah pun keluar, dengan menyaksikan syarikat itu berjaya menyerahkan 15,880 unit kepada pelanggan, dan menjadi catatan jualan bulanan paling tinggi sejak Julai 2013. Ini adalah hasil daripada pengeluaran yang semakin pulih dan bakal meletakkan Proton dalam kedudukan betul untuk terus mencatat pertumbuhan selama empat tahun berturut-turut.

Untuk lapan bulan pertama tahun ini, Proton telah menjual 87,481 unit kenderaan, dan merupakan peningkatan sebanyak 39.7% berbanding jumlah 62,637 unit yang dicatat pada tempoh sama tahun lepas.

Kebiasaannya, Proton menggabungkan sekali jumlah jualan domestik dan eksport, jadi dengan eksport yang berjumlah 938 unit bulan lalu, catatan jualan untuk pasaran domestik sepatutnya adalah 14,942 unit. Ini cukup bagus untuk meletakkan Proton di tempat kedua berbanding jenama lain, dengan unjuran perkongsian pasaran sekitar 23.7% bagi bulan Ogos dan 19.5% untuk sepanjang tahun ini.

Proton juga sangat bangga dengan pencapaian X50 yang masih berada di tempat teratas dalam segmen SUV “meskipun terdapat pelancaran model baru pesaing terus daripada jenama lain.” Melihat kepada Honda, pengeluaran HR-V baru mungkin masih lagi perlahan kerana masalah bekalan alat ganti.

Disebabkan itu, “kedudukan Proton di tempat teratas dalam segmen SUV terus tidak dapat dicabar” dan X50 berjaya melepasi jumlah jualan 4,000 unit bagi tiba bulan berturut-turut dengan 4,329 unit berjaya diserahkan pada bulan Ogos. X70 pula mencatat jualan 1,555 unit, menjadikan jumlah keseluruhan SUV yang berjaya dijual adalah 5,884 unit bagi bulan Ogos, dan 37,489 unit bagi keseluruhan tahun ini.

Saga, dengan catatan 6,156 unit pada bulan lepas bukan setakat menjadi model paling laris Proton, tetapi juga merupakan model ketiga paling popular di dalam negara, bagi bulan Ogos. Jumlah jualan keseluruhan model yang dilancarkan pada bulan Mei lalu ini sekarang sudah mencecah 14,000 unit. Persona, Iriz dan Exora pula masing-masing mencatat 2,612, 962 dan 266 unit.

The post Proton jual 15,880 kenderaan pada bulan Ogos 2022 – catatan bulanan tertinggi dalam masa sembilan tahun appeared first on Paul Tan's Automotive News.


Post a Comment

0 Comments