Sedar tak sedar, dah empat tahun Myvi generasi ketiga ada dalam pasaran sejak dilancarkan pada 2017. Dan kini, muncul pula versi facelift terbaru untuk pertengahan hayatnya. Walaupun sekadar model facelift, ada banyak peningkatan yang dilakukan sebenarnya. Gril utama kini lebih besar, menjadikan wajah depan lebih menonjol dan tampil seiras dengan wajah depan SUV Ativa. Kalau diletak sebelah model lama, pasti ketara perbezaan penampilannya.
Boleh juga dilihat elemen rekaan X pada bampar depan, yang agak mirip sebenarnya dengan model X-Concept yang pernah dipamer di KLIMS 2018 dulu. Warna baru Cranberry Red yang dilihat ini pun sama macam kereta konsep tersebut. Ditawarkan eksklusif untuk Myvi AV (gambar), warna baru ini lebih gelap berbanding Pearl Delima Red pada Ativa, dan nampak lebih eksklusif berbanding Lava Red pada varian Myvi yang lebih rendah.
Rekaan lampu utama serba baru. Ada juga lanjutan jalur krom yang menyambungkannya dengan gril. Perincian yang lebih gelap juga digunakan pada bahagian dalam lampu ini untuk jadikannya kelihatan lebih nipis berbanding sebelumnya. Lampu nyalaan siang atau DRL LED serba baru pula ditawarkan standard buat pertama kali bagi model Perodua. Betul, Ativa pun ada ciri berkenaan, tapi ia ditawarkan sebagai sebahagian daripada bodykit Blaze GearUp.
Tapi kedudukannya adalah dalam jalur menegak, menggantikan kedudukan lampu kabus sepenuhnya, dan bukan disekalikan dalam lampu utama LED yang ada. Bawah sekali adalah skirting baru, dalam kemasan hitam berkilat dan perincian warna perak — nampak macam skid plate SUV pun ada. Bagaimanapun, sekali dengan DRL, ini hanya didatangkan untuk varian 1.5H dan 1.5AV.
Dari sisi, disebabkan rekaan rim sebelum ini memang siap sedia nampak menarik, Myvi baru ini kekal gunakan rim yang sama seperti sebelumnya, dengan saiz 14 inci bagi varian rendah dan 15-inci bagi varian tinggi (H dan AV). Satu lagi pembaharuan kecil yang dilakukan ialah perumah cermin sisi hitam kini standard untuk semua varian, sama seperti Ativa. Keseluruhannya, rupa baru luaran yang diberikan agak ketara juga. Kalau nak versi yang lebih sporty macam Myvi GT atau SE, itu kena tunggu lagilah.
Kemaskini ruang dalaman
Di dalam, disebabkan kemasan merah pada Ativa mendapat sambutan baik, pendekatan sama dilakukan untuk ruang dalaman Myvi baru ni. Kerusi misalnya, kini lebih banyak bahagian merah berbanding hitam, dan merahnya pun lebih cerah. Kerusi juga balutan kulit sepenuhnya untuk Myvi AV. Untuk varian lain yang lebih rendah, balutan fabrik yang digunakan pun dari jenis yang baru.
Bahagian corong pendingin hawa pun ada kemasan merah yang menggantikan kemasan krom sebelum ini — ia akan kurang menyilaukan pandangan akibat pantulan matahari waktu siang. Jadi sekarang tiada lagi perincian krom digunakan pada bahagian ini; kemasan merah untuk AV dan varian lain dengan warna perak.
Kluster meter merah terbaru ini juga hanya untuk AV, agak mirip dengan versi Myvi SE 2011. Paparan multi-info berwarna juga unik untuk AV sahaja, dengan kawalan tambahan untuk ciri seperti peninjau titik buta dan lampu isyarat. Varian lain dapat meter putih dengan skrin monokrom, sama macam Ativa X yang paling asas. Apapun, kluster meter ini semua dalam gaya Optitron — akan padam sepenuhnya sampailah dihidupkan. Bagaimanapun, masih tak ada meter suhu enjin disediakan.
Stereng baru ini pula dipinjam dari Ativa, dan nampak lagi menarik berbanding yang lama. Tapi ada banyak ruang kosong untuk butang, walaupun bagi varian AV, yang membuatkannya nampak ada kurang sikit. Skrin sentuh head unit pun dipinjam dari Ativa, kini dengan saiz paparan lebih besar, 6.9-inci serta sistem kawalan terbaru. Tapi masih tak ada Apple CarPlay atau Android Auto, walaupun masih boleh mirroring Android melalui SmartLink. Kuncinya juga baru, sama macam Ativa.
Kawalan pendingin hawa pun ada pembaharuan. Kini ada butang OFF baru, sekali tekan dah boleh tutup pendingin hawa terus, tak perlu lagi turunkan kelajuan kipas lagi sampai 0. Dua tetapan memori masih ada, tapi perlu dikendalikan melalui butang tunggal. Satu lagi tambahan terbaru ialah dashcam untuk varian lebih tinggi. Sekali dengan filem penapis haba yang siap dipasang, Myvi keluar kilang sahaja sudah siap untuk digunakan terus — tak perlu belanjakan wang untuk tambahan ciri aksesori lain. Myvi baru ini juga diperkenalkan tanpa pakej GearUp — itu akan hadir kemudian.
Selebihnya, kelengkapan dalaman sama macam sebelum ini. Ada pengimbas kad tol binaan dalam tersedia, begitu juga dengan cangkuk anti-ragut dan juga cangkuk teh tarik di kerusi. Ruang bukan masalah untuk Myvi, ruang kaki di belakang malah lagi besar berbanding Ativa. Orang dewasa boleh duduk selesa, dan sudut penyandar pun condong.
Tapi kekurangan lama masih ada. Saiz kerusi agak kecil, larasan stereng hanya atas-bawah dan tiada larasan rapat ke pemandu, perehat lengan di tengah pun masih tak ada, serta tak ada corong pendingin udara di belakang. Kapasiti but masih sama, 277 liter. Agak ok untuk kelasnya, dengan ambil kira ada tayar ganti saiz penuh kat belakang.
Peningkatan mekanikal
Aspek mekanikal, Myvi 2022 ni guna enjin yang sama, 1.3 liter dan 1.5 liter Dual VVT-i empat-silinder. Tak ada turbo. Angka janaan pun sama, 94 hp dan 121 Nm untuk enjin 1.3 liter, dan 102 dan 136 Nm untuk enjin 1.5 liter. Tapi kotak gear baru. Pertama, tak ada lagi kotak gear manual ditawarkan untuk Myvi. Kedua, transmisi automatik 4-kelajuan sebelum ini dah digantikan oleh D-CVT dari Ativa. Ini transmisi terbaru oleh Daihatsu, dan merupakan sistem seumpamanya yang pertama di dunia dan merupakan kali pertama juga ia digunakan untuk platform bukan-DNGA.
Perodua mendakwa dengan D-CVT, Myvi kini 5% lebih cekap bahan api berbanding sebelum ini, dengan 1.3L didakwa mencatatkan hingga 22.2 km/l, dan 1.5L hingga 21.1 km/l — kedua-duanya naik 1 km/l. Tempoh pecutan juga hampir 20% lebih baik dengan D-CVT, itu yang penting. Pecutan 0-100 km/j ialah 11.5 saat utk 1.3L, dan 10.2 saat bagi 1.5L. Sama seperti Ativa, ada juga butang “Power” di stereng yang akan memberi lonjakan pecutan bila perlu.
D-CVT juga dikatakan mempunyai nisbah gear yang setanding dengan automatik lapan-kelajuan. Perubahan minor lain ialah mod S dan B pada tombol gear, yang menggantikan gear 3 dan 2 sebelum ini. S adalah untuk Sport, sementara B untuk Braking ketika menuruni curam.
Aspek keselamatan pun dinaiktaraf kepada teknologi sama yang ada pada Ativa. Kini Myvi dilengkapi ASA 3.0. Tambahan ciri terbaru termasuklah kawalan melayar adaptif (ACC), bantuan mengekalkan lorong, peninjau titik buta dan amaran lintasan trafik di belakang untuk varian AV. Ini pemanduan semi-autonomous Tahap 2, dan ada pada Myvi! Cuma, sama seperti Ativa, ACC hanya berfungsi antara kelajuan 30 dan 125 km/j, jadi masih belum ada low speed follow atau bantuan dalam kesesakan.
Varian lain, kecuali model paling asas, turut menerima ASA 3.0. Fungsi AEB kini berkesan hingga 120 km/j, dan boleh juga mengesan motosikal dan basikal. Kameranya boleh mengesan kereta pada waktu malam juga. Ciri baru lain untuk Myvi ialah lampu tinggi automatik yang dijadikan standard untuk semua varian kecuali yang paling asas. Pengingat tali keledar juga disediakan untuk semua tempat duduk. Beg udara sama seperti sebelum ini — empat untuk varian rendah, dan enam untuk varian lebih tinggi. Kawalan kestabilan elektronik adalah standard.
Akhir sekali, harga. Dengan semua penambahbaikan ini, boleh dijangkakan harga akan naik sedikit. Kini ada lima varian, dan bermula dari RM46k bagi 1.3G. Tambah ASA 3.0 untuk 1.3G+, dan harganya jadi RM48k. Varian baru, 1.5X dijual pada harga RM50k. 1.5H pula RM54k. Varian paling tinggi, 1.5AV dijual pada harga RM59k. Varian kedua teratas menyaksikan harga masing-masing naik sebanyak RM4k dan RM6k—kenaikan yang agak banyak juga untuk kelas kenderaan ini. Perlu diingat, ini harga dengan pengecualian SST. Jadi, masuk Julai 2022 nanti, Myvi akan lebih daripada RM60k. Tapi ini bukanlah Myvi yang paling mahal pernah ada; 2011 dulu ada Myvi Extreme yang dijual RM62k.
GALERI: Perodua Myvi 1.5 AV facelift 2022
GALERI: Perodua Myvi 1.5 H facelift 2022
GALERI: Gambar rasmi Perodua Myvi 1.5 AV facelift 2022
GALERI: Gambar rasmi Perodua Myvi 1.5 H facelift 2022
GALERI: Gambar rasmi Perodua Myvi 1.5 X facelift 2022
GALERI: Gambar rasmi Perodua Myvi 1.3 G PSDA facelift 2022
GALERI: Gambar rasmi aksesori Gear Up untuk Perodua Myvi facelift 2022
The post VIDEO: Pusing keliling, perincian Perodua Myvi 2022 appeared first on Paul Tan's Automotive News.
0 Comments