Perodua Myvi 2022 cecah 4,303 unit tempahan dalam tempoh 9 hari – sasar 6,000 unit pendaftaran sebulan

Sejak tempahannya mula dibuka pada 9 November lalu, Perodua Myvi 2022 yang baru dilancarkan sebentar tadi, telah pun menerima tempahan sebanyak 4,303 unit dan penghantarannya akan bermula esok.

Sebanyak RM50 juta telah dibelanjakan untuk pembangunan barisan Myvi 2021 ini yang diberikan pelbagai teknologi canggih, ciri keselamatan pintar yang dipertingkatkan, penjimatan bahan api yang lebih baik, penampilan baharu yang sporty serta warna baharu.

“Kami berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia terutama para pelanggan kami atas sokongan yang diberikan kepada Perodua dan Myvi baharu. Kami menjangkakan sebanyak 6,000 unit Myvi baharu akan didaftarkan setiap bulan, yang mana ini membolehkan kami mengekalkan kecenderungan jualan Myvi pada masa akan datang,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

Tambahnya lagi, “Myvi telah menarik perhatian rakyat Malaysia dan telah diterima secara meluas oleh masyarakat. Tawaran baharu ini adalah untuk memastikan para pelanggan kami yang dihargai memperolehi nilai yang terbaik.”

Pelancaran varian baharu ini adalah dalam tempoh minggu yang sama dengan pelancaran Myvi generasi ketiga iaitu pada 16 November 2017. Myvi yang mula diperkenalkan pada Mei 2005 telah menjual kira-kira 1.3 juta unit setakat ini dan daripada jumlah tersebut, Myvi generasi ketiga terjual sebanyak 277,329 unit.

Myvi 2022 dibarisi varian 1.3L G (model asas tanpa Perodua Smart Drive Assist) yang berharga RM47,500, 1.3L G (RM47,700), 1.5L X (RM49,900), 1.5L H (RM53,900) dan spesifikasi tertinggi 1.5L AV (RM58,800). Harga tersebut adalah untuk Semenanjung Malaysia, tanpa insurans dan dengan pengecualian cukai jualan yang berlangsung sehingga 30 Jun 2022. Ia juga didatangkan dengan waranti lima-tahun/150,000 km.

Untuk empat varian tertinggi Myvi 2022, kini ia diberikan sistem Perodua Smart Drive Assist (PSDA), yang merangkumi Advance Safety Assist versi 3.0, Adaptive Cruise Control (ACC), Lane Keep Assist (LKS), Blind Spot Monitoring System (BSM) dan Rear Cross Traffic Alert (RCTA). Ini bermakna semua varian Myvi baharu kini dilengkapi teknologi Autonomi Tahap 2 (kecuali varian G tanpa PSDA).

“Ini adalah pertama kali dalam sejarah Malaysia, syarikat kereta menawarkan teknologi Autonomi Tahap 2 kepada model di bawah harga RM60,000,” kata Dato’ Zainal.

Selain itu, Myvi 2022 turut diberikan transmisi baharu iaitu Dwi-mod CVT (Continuous Variable Transmission) bagi menggantikan transmisi empat-kelajuan.

Dato’ Zainal turut berkata, dengan penambahbaikan ini, Myvi 2022 mampu mencatatkan peningkatan sebanyak 5% atau tambahan satu kilometer bagi setiap liter bahan api serta 20% pecutan yang ditambahbaik.

“Peningkatan kecekapan bahan api Myvi 2022 adalah komitmen kami ke arah mengurangkan impak kepada alam sekitar dan usaha kami ke arah matlamat untuk menjadi sebuah organisasi karbon neutral.

“Selain itu Dwi-mod CVT ini akan meningkatkan lagi kecekapan transmisi, ringan dan bersaiz kompak, memberikan lebih kuasa pecutan dan lancar pada kelajuan rendah serta menjadikan kenderaan lebih senyap selain meningkatkan kecekapan bahan api,” kata Dato’ Zainal.

Tiada perubahan diberikan pada enjin-enjin yang menjana Perodua Myvi facelift 2022 ini. Model 1.3L dijana oleh enjin 1NR-VE berkuasa 94 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 121 Nm pada takat 4,000 rpm. Model 1.5L juga masih digerakkan oleh enjin 2NR-VE berkuasa 102 hp dan tork maksima 136 Nm pada takat 4,200 rpm.

Myvi 2022 juga menampilkan warna baharu iaitu Cranberry Red eksklusif untuk varian AV sahaja. Warna lain termasuk Ivory White, Glittering Silver, Lava Red (tidak tersedia untuk AV), Granite Grey dan Electric Blue.

GALERI: Perodua Myvi 1.5 AV facelift 2022

GALERI: Perodua Myvi 1.5 H facelift 2022

GALERI: Gambar rasmi Perodua Myvi 1.5 AV facelift 2022

GALERI: Gambar rasmi Perodua Myvi 1.5 H facelift 2022

GALERI: Gambar rasmi Perodua Myvi 1.5 X facelift 2022

GALERI: Gambar rasmi Perodua Myvi 1.3 G PSDA facelift 2022

GALERI: Gambar rasmi aksesori Gear Up untuk Perodua Myvi facelift 2022

The post Perodua Myvi 2022 cecah 4,303 unit tempahan dalam tempoh 9 hari – sasar 6,000 unit pendaftaran sebulan appeared first on Paul Tan's Automotive News.


Post a Comment

0 Comments