Tengku Djan rangkul gelaran juara keseluruhan Vios Challenge Toyota Gazoo Racing M’sia buat kali ke-3!

Siri kejohanan ‘one make’ Vios Challenge dalam Festival Perlumbaan Toyota Gazoo Racing Malaysia untuk musim keempat akhirnya tiba di pusingan terakhir, iaitu pusingan ketiga hujung minggu lalu. Disebabkan siri tersebut tidak dapat diadakan di Terengganu dan juga di Pulau Pinang seperti musim-musim sebelumnya, acara kemuncak yang masih diadakan di Litar Antarabangsa Sepang berkenaan dilangsungkan di sebelah malam buat pertama kali.

Seperti biasa, perlumbaan kali ini dilangsungkan dalam empat kategori berbeza – kategori Super Sporting yang menyajikan pertarungan sengit diantara pelumba-pelumba profesional tempatan, kategori Sporting yang sangat kompetitif dibintangi pelumba-pelumba kelas amatur, kategori Rookie yang terdiri dari pelumba-pelumba yang sangat muda lahir dari dunia simulator dan Go-Kart, dan juga kategori Promotional menampilkan barisan-barisan selebriti tanah air.

RACE 1, SABTU 20 NOVEMBER

  • Kategori Sporting
  • Perlumbaan kali ini dimulakan dengan aksi dari kategori Sporting. Tumpuan diberikan kepada Ady Rahimi dari pasukan 23 Motors – walaupun bermula dari petak pertama, permulaan yang kurang baik menyebabkan Ady sedikit ketinggalan pada peringkat awal.

    Namun dia berjaya semula untuk mendahului dan menamatkan perlumbaan jauh kehadapan, meninggalkan pemenang tempat kedua Bradley Benedict Anthony dari pasukan Dream Chaser 12.3 saat di belakang, diikuti Dannies Ng di tempat ketiga. Walau bagaimanapun, insiden di awal perlumbaan yang menyaksikan kereta Ady menyentuh Vios yang dipandu Amirul Hakimi dari pasukan Super Evergreen Motorsports menyebabkan ia diberikan penalti selepas tamat perlumbaan.

    Dengan penalti tersebut, Ady terpaksa berpuas hati di tempat kedua sementara Bradley Benedict Anthony disahkan sebagai pemenang tempat pertama.

    Bagi Dannies Ng, kedudukan podium tempat ketiga yang dicapai bukanlah sesuatu yang mudah kerana dia terpaksa bertarung sengit dengan empat pelumba lain. Mirza Syahmi dari pasukan Aylezo Motorsport berada di kedudukan ketiga dari awal perlumbaan sehingga ke lap-12.

    Walau bagaimanapun setelah diasak dengan agresif oleh Clement Yeo yang berada di belakang, Mirza jatuh ke kedudukan ke lima setelah sedikit terbabas di selekoh terakhir. Dalam keadaan kucar kacir berkenaan, Dannies Ng mengambil kesempatan untuk meluru ke hadapan untuk merebut kedudukan podium terakhir tersebut.

    Ng kemudiannya diasak oleh Amirul Hakimi yang berada di tempat keempat dan juga Shawn Lee dari pasukan Laser Motor Racing di kedudukan kelima. Namun kedudukan itu kekal hingga ke garis penamat.

  • Kategori Promotional
  • Selepas selesai kategori Sporting, ia disambung pula dengan kategori Promotional. Bagi kategori ini, boleh dikatakan setiap perlumbaan musim ke empat ini akan menyaksikan pertarungan sengit antara Zizan Razak dan Shukri Yahaya, tak terkecuali bagi pusingan terakhir ini.

    Shukri bermula dari posisi pole kali ini, diikuti oleh Zizan. Namun Zizan berhadapan tugas sukar kerana menerima tekanan dari Khai Bahar dan juga ketua pegawai sukan permotoran Toyota Gazoo Racing Malaysia, Akio Takeyama. Kedudukan antara ketiga-tiga pelumba ini saling bertukar, sementara Shukri selesa mendahului di hadapan.

    Namun ketika perlumbaan berbaki lagi dua lap, Zizan yang berada di tempat kedua berjaya merapatkan jurang dengan Shukri yang berada di hadapan. Shukri mula kelihatan goyah apabila Zizan memulakan serangan di saat-saat akhir. Tanpa diduga, Zizan berjaya memintas Shukri pada di tiga selekoh terakhir pada lap penentuan serta mengekalkan kedudukan tersebut sehingga garis penamat.

    Walau bagaimanapun, Zizan dikenakan penalti lima-saat oleh pentadbir perlumbaan kerana dikesan menggunakan had litar yang tidak sepatutnya ketika memotong, menyebabkan dia jatuh ke tempat kedua. Akio Takeyama mengisi podium tempat ketiga perlumbaan tersebut.

  • Kategori Super Sporting
  • Bagi kategori ini, Tengku Djan Ley mempunyai misi untuk merampas semula kedudukan pendahulu kejohanan dari Syafiq Ali dari pasukan M7 Japan Project untuk bergelar juara keseluruhan musim keempat. Pada sesi kelayakan, Syafiq Ali yang menerima beban weight ballast selepas mendapat kedudukan podium di Race 1 dan juara pada Race 2 pusingan kedua, gagal untuk menunjukkan pretasi terbaiknya dengan mencatatkan masa paling lambat dalam kategori ini.

    Sebaliknya, Tengku Djan berjaya mencatatkan masa kedua terpantas pada sesi berkenaan. Namun, Djan terpaksa bermula dipetak ke-10, di belakang Syafiq Ali kerana insiden yang berlaku pada perlumbaan sebelum ini.

    Walau bagaimanapun, perlumbaan yang diadakan ketika waktu malam, ditambah dengan hujan renyai-renyai menyaksikan Tengku Djan berjaya meletakkan dirinya untuk bersaing di kelompok hadapan. Perlumbaan ini berakhir dengan Freddie Ang dan Mark Darwin mengekalkan kedudukan 1 dan 2 sejak dari mula, manakala Tengku Djan berada di podium tempat ketiga.

    “Kami ada kereta yang baik sepanjang hujung minggu ini dan saya perlu berlumba dengan bijak. Saya perlu memandu dengan pintar untuk perlumbaan terakhir esok kerana saya sudah terima semula ballast 40kg yang mana ia merupakan kelemahan yang besar. Ia merupakan persoalan untuk mendapatkan semula mata yang terlepas pada pusingan kedua,” kata Tengku Djan selepas tamat perlumbaan tersebut.

  • Kategori Rookie
  • Seperti biasa, kategori yang hanya disertai oleh lima orang pelumba muda ini berlangsung sekali dengan kategori Super Sporting. Kali ini, Putera Adam yang baru berumur 14-tahun berjaya mendahului perlumbaan 20 lap berkenaan 1.3 saat di hadapan Jwan Hii di tempat kedua dan pendahulu kejohanan Naquib Azlan di tempat ketiga.

    Putera bermula dari petak pertama memandu dengan tenang sehingga ke garis penamat, diekori rapat oleh Hii dan Naquib. Mika Hakimi terpaksa masuk ke pit kerana berhadapan dengan isu teknikal, menyebabkan ia terpaksa berpuas hati di tempat terakhir di belakang Amer Harris.

    RACE 2, AHAD 21 NOVEMBER

  • Kategori Sporting
  • Berbeza dengan Race 1 yang dilangsungkan dalam keadaan kering sepenuhnya, Race 2 kategori Sporting ini berlangsung dalam keadaan litar yang basah, menyebabkan enam kereta mengalami kemalangan hanya pada lap pertama. Clement Yeo yang bermula di petak kelima berjaya meluru ke hadapan dan terus mengekori pendahulu perlumbaan, Kenneth Koh dari pasukan Panglima City Racing Team, dan kemudian memotongnya untuk berada di tempat pertama.

    Sekali lagi, pertarungan untuk berada di podium ketiga kelihatan sengit di kelompok kedua, menyaksikan Ady Rahimi terbabas keluar dari litar, diikuti Lim Chun Beng dari pasukan Fokus Tetap, Dato’ Ken Foo, A. Shanmuganathan, Eric Yong dan Amirul Haikal.

    Insiden ini menyebabkan Safety Car terpaksa keluar untuk memimpin perlumbaan buat sementara. Kesempatan ini digunakan oleh Kenneth Koh untuk merapatkan kembali jaraknya dengan Clement Yeo, dan tumpuan perlumbaan teralih semula ke kelompok kedua setelah Safety Car masuk semula ke pit, menyaksikan pertempuran hebat antara Bradley Benedict Anthony dan Ady Rahimi untuk tempat ketiga.

    Dengan masa yang telah terbuang ketika Safety Car keluar, perlumbaan tidak lagi dijalankan sebanyak 20 lap, sebaliknya bergantung kepada masa maksima. Pada 10 minit terakhir perlumbaan, Yeo berjaya menjarakkan kembali posisinya di hadapan, sementara Bradley membuat kejutan dengan memotong Kenneth Koh untuk berada di tempat kedua.

    Posisi ini kekal sehingga kereta Clement Yeo melepasi garisan penamat, sekaligus dia turut mengesahkan gelaran juara keseluruhan untuk kategori Sporting musim keempat ini, dan menerima hadiah utama berupa wang tunai berjumlah RM50,000.

  • Kategori Promotional
  • Sekali lagi, kategori ini tertumpu kepada persaingan antara Shukri Yahaya dan Zizan Razak, dan perlumbaan ini juga akan menentukan siapa antara kedua-dua selebriti ini akan dinobatkan sebagai juara keseluruhan musim ini. Ia bermula dengan Zizan mendahului perlumbaan, diikuti oleh Shukri dan juga Khai Bahar di tempat ketiga.

    Namun Zizan telah membuat kesilapan di lap ke-6, membolehkan Shukri dan Khai memintasnya. Apa yang menarik, Zizan mula ketinggalan dari kelompok utama tersebut hampir 10-saat di belakang, sambil Khai cuba mengasak Shukri di hadapan.

    Perlumbaan ini ditamatkan dengan Shukri berada hanya 0.3 saat di hadapan Khai. Tetapi Shukri telah dikenakan penalti oleh pentadbir perlumbaan membolehkan Khai Bahar memenangi perlumbaan terakhir ini. Walau bagaimanapun, pungutan mata setelah tamat perlumbaan berkenaan menyaksikan Shukri Yahaya berjaya bergelar juara keseluruhan bagi kategori Promotional musim keempat ini.

  • Kategori Super Sporting
  • Perlumbaan terakhir bagi kategori Super Sporting ini menyaksikan pertarungan sengit antara ‘Prince of Drift Malaysia’ Tengku Djan Ley, pelumba muda yang pernah memungut mata dalam kejohanan tertinggi Touring Car dunia (WTCR) Mitchell Cheah dan juga Freddie Ang.

    Cheah yang memandu untuk pasukan 23 Motors mengulangi prestasinya pada pusingan kedua sebelum ini, dengan mendominasi perlumbaan 20 lap tersebut di hadapan Tengku Djan Ley, diikuti Ang di tempat ketiga. Walau bagaimanapun, Cheah dikenakan penalti selepas tamat perlumbaan, membolehkan Djan diangkat sebagai pemenang tempat pertama.

    Dengan keputusan berkenaan, ditambah pula dengan prestasi buruk ditunjukkan pesaing utama, Syafiq Ali dengan hanya berjaya menamatkan Race 2 di tempat ke-8, membolehkan Tengku Djan dinobatkan sebagai juara keseluruhan kategori Super Sporting bagi musim ke-4 ini serta menerima hadiah wang tunai berjumlah RM70,000.

    Jadi sehingga kini, Tengku Djan yang juga duta untuk Toyota Gazoo Racing Malaysia dilihat sebagai pelumba paling berjaya dalam siri Vios Challenge ini dengan menjadi juara keseluruhan sebanyak tiga kali dari empat musim yang telah dilangsungkan.

  • Kategori Rookie
  • Putera Adam masih mengekalkan penguasaannya dalam Race 2 dengan menamatkan perlumbaan di tempat pertama – pelumba yang baru berumur 14-tahun ini turut membuat kejutan untuk berada di kelompok pelumba-pelumba dari kelas Super Sporting!

    Dia sangat selesa untuk berada 7.424 saat di hadapan Naquib Azlan yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua, diikuti Jwan Hii di tempat ketiga. Walau bagaimanapun carta pungutan mata mengesahkan bahawa Naquib berjaya dinobatkan sebagai juara keseluruhan bagi kategori Rookie ini yang baru sahaja diperkenalkan pada musim ini.

    Naquib yang sebelum ini hanya berlumba dengan simulator jelas gembira dengan apa yang dicapai sepanjang pembabitannya dalam perlumbaan dengan kereta sebenar menerusi siri Vios Challenge berkenaan.

    “Ia seakan mimpi menjadi nyata. Saya tak sangka akan menyertai perlumbaan dunia sebenar dan mampu beraksi sebaik yang saya lakukan. Saya sangat-sangat bersyukur. Saya perlu ucapkan terima kasih kepada Toyota kerana memberikan kepercayaan dan memberikan peluang kepada saya, kepada pasukan, kepada Alex Yoong yang membantu semua pelumba Rookie dalam menempuhi seluruh perjalanan ini. Ini merupakan sesuatu yang tidak ada pengeluar lain telah lakukan dan bagi mewakili Toyota ia merupakan penghormatan. Saya tak sabar untuk melakukannya sekali lagi musim hadapan,” kata Naquib.

    Pusingan terakhir ini turut dihadiri oleh Menteri Belia dan Sukan Yang Berhormat Dato’ Seri Ahmad Faizal Bin Dato’ Azumu, yang bukan sahaja sempat bertemu dengan pelumba-pelumba muda dalam kelas Rookie, malah sempat untuk menyampaikan hadiah buat semua pemenang.

    Menurut menteri berkenaan, apa yang dilakukan oleh UMW Toyota dalam menganjurkan siri perlumbaan ini telah membuktikan bagaimana sektor korporat boleh terlibat dan menyumbang secara signifikant terhadap merancakkan dan menyuntik keterujaan yang lebih besar dalam sukan ini.

    “Ini merupakan satu inisiatif yang dibuat secara bebas tanpa sebarang sokongan atau bantuan kewangan dari kerajaan. Walaupun UMW Toyota Motor dan jenamanya mungkin mempunyai objektif tersendiri untuk dipenuhi, ia telah berjaya dilakukan dalam masa yang sama memberikan banyak sumbangan kepada sukan permotoran Malaysia. Saya bukan sahaja merujuk kepada perlumbaan yang berlangsung di trek, tetapi juga dari segi memberi rangsangan besar kepada ekonomi sukan permotoran kerana acara seperti ini mewujudkan peluang perniagaan dan pekerjaan bagi mereka dalam industri,” kata Faizal.

    GALERI: Race 1 Vios Challenge Festival Perlumbaan Toyota Gazoo Racing Malaysia musim keempat pusingan ketiga

    GALERI: Race 2 Vios Challenge Festival Perlumbaan Toyota Gazoo Racing Malaysia musim keempat pusingan ketiga

    The post Tengku Djan rangkul gelaran juara keseluruhan Vios Challenge Toyota Gazoo Racing M’sia buat kali ke-3! appeared first on Paul Tan's Automotive News.


    Post a Comment

    0 Comments