Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) bakal menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di negara ini yang menggunakan kaedah End Live Vehicle (ELV) bagi menyelesaikan masalah lambakan kenderaan buruk. Sejak 2016 sehingga Oktober lalu, MPKj telah merekodkan lebih 5,000 kenderaan terbiar dan usang, di kebanyakan kawasan perumahan.
Menurut Yang Dipertua MPKj, Najmuddin Jemain, ELV adalah proses mengitar semula kenderaan dengan tahap pematuhan standard yang ketat terutama menekankan kelestarian alam sekitar. Di mana melalui proses ELZ, setiap kenderaan akan dileraikan secara teratur dan komponennya akan dikitar semula mengikut kaedah SW422 (piawaian Jabatan Alam Sekitar), laporan Berita RTM.
“Kita cuba selesaikan aduan ini dengan cara yang terbaik. Kita tidak mahu timbul isu yang berlainan khususnya berkaitan dengan alam sekitar.
“Bermula daripada kenderaan ditimbang di atas platform, dan sehinggalah proses-proses meleraikan, meletupkan airbag, mengeluarkan bahan kimia yang berada di dalam kenderaan, yang dipantau oleh Jabatan Alam Sekitar supaya ia tidak menyebabkan pencemaran. Komponen yang tidak dapat dikitar semula akan dihantar ke Kualiti Alam atau Pentas Flora untuk proses rawatan lanjut,” kata Najmuddin.
Projek Rintis Kerjasama Pintar ini bakal bermula pada 1 Disember 2021 yang dilaksanakan dengan kerjasama Car Medic Sdn Bhd dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tambah Najmuddin, melalui kerjasama pintar ini juga, Car Medic akan menunda semua kenderaan buruk seperti kereta,bas, lori, kenderaan perdagangan dan kenderaan berat yang telah dinotis oleh MPKj ke depoh simpanan kenderaan buruk di Bandar Baru Bangi. Selepas selesai proses lucut hak dan perundangan maka kenderaan ini ditunda semula ke Depoh Car Medic untuk proses ELV.
The post MPKj jadi PBT pertama guna kaedah End Live Vehicle selesaikan masalah lambakan kenderaan buruk appeared first on Paul Tan's Automotive News.
0 Comments