Perodua tegaskan bahawa teknologi hibrid adalah lebih mesra alam di M’sia berbanding elektrik penuh

Industri automotif merupakan satu industri yang sangat dinamik. Kita boleh lihat ia sentiasa berkembang dengan pantas – dari sistem karburator ke sistem suntikan bahan api elektronik, dari kapasiti besar ke kapasiti kecil dengan pendesak turbo, dan kini ia bergerak ke arah sesuatu yang lebih radikal iaitu enjin pembakaran dalaman mahu dimansuhkan terus dan digantikan dengan teknologi elektrik sepenuhnya kerana mahukan sesuatu yang lebih mesra alam.

Bagi Kesatuan Eropah, hala tuju mereka sudah jelas di mana kereta baharu dengan enjin pembakaran dalaman akan diharamkan penjualan di benua berkenaan pada tahun 2035. Sebab itu boleh dikatakan kebanyakkan jenama-jenama automotif dari Eropah kini sudahpun mengumumkan pelan peralihan mereka untuk menjadi jenama elektrik sepenuhnya.

Kerajaan Jepun juga kini sedang mempertimbangkan langkah yang sama untuk mengharamkan penjualan kereta dengan enjin pembakaran dalam menjelang 2030, tetapi usaha tersebut seakan tidak dipersetujui oleh pengeluar-pengeluar kenderaan di sana, terutamanya jenama nombor 1 negara matahari tersebut iaitu Toyota.

Manakala di Asia Tenggara, dua negara dengan pasaran automotif paling besar iaitu Thailand dan Indonesia sudahpun mula mengorak langkah untuk memberikan pelbagai insentif kepada pelabur dan juga pembeli kenderaan-kenderaan elektrik (EV) ini bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam peralihan global berkenaan.

Bagaimana dengan Malaysia? Dalam pembentangan Bajet 2022 baru-baru ini, kerajaan telah pun mengumumkan berkenaan cadangan untuk mengecualikan cukai dan duti terhadap model-model EV yang diimport. Langkah tersebut dilihat sebagai usaha pertama bagi menggalakkan rakyat Malaysia mula menggunakan kereta elektrik ini.

Namun, betul ke kereta elektrik ini lebih mesra alam berbanding kereta yang dijana oleh bahan api fosil? Kalau perbandingan secara terus, memang ya. Kita boleh lihat kereta elektrik tiada paip ekzos, sementara enjin konvensional yang memerlukan pembakaran dalam enjin untuk menggerakkan omboh akan menghasilkan pelbagai gas beracun yang keluar dari tip ekzos.

Tetapi mungkin ramai yang tidak sedar, untuk menghasilkan kuasa elektrik, ia bukan hanya dijana oleh kuasa semula jadi seperti solar, air atau angin sahaja, malah kebanyakkannya masih dihasilkan dari penjana yang menggunakan kuasa pembakaran arang batu. Kaedah menggunakan arang batu ini juga sememangnya menghasilkan pencemaran yang sama dengan enjin pembakaran dalaman.

Menurut laporan Thomson Reuters, di Amerika Syarikat, sekitar 30% tenaga elektrik masih dijana oleh arang batu, manakala di China jumlah tersebut adalah seganda lebih banyak. Pada peringkat global pula, secara kasarnya sejumlah 37% kuasa elektrik yang dijana adalah menggunakan pembakaran arang batu.

Jadi, memang kita tak nampak pembakaran berlaku pada kereta elektrik ini, tapi pencemaran tetap berlaku di peringkat janaan kuasa elektrik tersebut. Secara logiknya, semakin banyak permintaan kuasa elektrik disebabkan semakin banyak kereta elektrik, pencemaran karbon akan tetap berlaku dan dengan kereta elektrik semata-mata masih tidak dapat menyelesaikan perkara ini.

Ketika pelancaran model Myvi facelift 2022 baru-baru ini, presiden dan CEO Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad ditanya oleh pihak media berkenaan teknologi EV. Menurutnya, Perodua lebih melihat kepada aspek well-to-wheel (loji-ke-roda) untuk mencapai tahap neutral karbon.

Ini bermaksud, kadar pencemaran berkenaan bukan hanya dilihat pada tip ekzos, sebaliknya diambil kira dari keseluruhan rantaian termasuk cara menghasilkan mendapatkan elektrik dari loji kuasa. Macam pernah dengarkan? Ya, ini adalah perkara sama yang telah lama disuarakan oleh pembuat kereta dari Hiroshima iaitu Mazda.

“Saya sentiasa mengatakan dari loji ke roda. Perkara pertama yang perlu kita lakukan adalah kami perlu memastikan bahawa kami capai neutral karbon bukan pada produk – iaitu EV – tetapi pada proses produksi, iaitu pada kilang kami, produksi kepada penjanaan tenaga,” katanya, dan turut menyentuh soal proses produksi dalam perbincangan tersebut.

Kerajaan kini seolah-olah mahu menghalakan industri automotif tempatan terhadap teknologi elektrik penuh, dengan memperkenalkan langkah bagi mengecualikan cukai untuk EV, namun Zainal lebih suka mengambil pendekatan yang lebih luas.

“Kami dah buat penyelidikan kami sendiri. Walaupun memang bagus kerajaan mengumumkan insentif bagi menggalakkkan pasaran EV, berdasarkan senario sekarang dalam industri automotif Malaysia, saya rasa masih ramai yang tidak berminat. Tetapi kami telah beritahu kerajaan, jangan hanya lihat (semata-mata pada) EV sebagai halatuju untuk industri automotif.

“Berdasarkan pengiraan kami, EV dan hibrid – kerana 50% sumber tenaga kita masih bergantung kepada pembakaran arang batu – HEV (hibrid) masih yang terbaik untuk Malaysia jika anda bercakap tentang mahu ke arah lebih mesra alam,” katanya sambil terus menekankan berkenaan tahap neutral karbon.

“Saya percaya apa yang dikatakan oleh kerajaan (dengan langkah pengecualian cukai EV ini) adalah untuk merancakkan ekonomi, tetapi dalam masa yang sama kerajaan mahu memulakan polisi karbon neutral – seperti yang telah disebutkan oleh Perdana Menteri, Malaysia agak komited untuk mencapai tahap neutral karbon menjelang 2050, dan kami bekerjasama dengan dengan kerajaan, bergerak kearah garis panduan yang telah mereka berikan.

“Kami telah mewujudkan organisasi neutral karbon kami sendiri, dan sebagainya, bagi memastikan apa jua yang kami lakukakan – EV, hibrid, produksi keseluruhan, sumber kuasa – kami tidak akan lupa berkenaan neutral karbon,” jelas Zainal lagi.

Apa yang disebutkan oleh Zainal yang lebih mengutamakan kenderaan hibrid elektrik berbanding elektrik penuh ini adalah seiring dengan pendapat Toyota, iaitu pemilik jenama Daihatsu yang juga rakan kerjasama Perodua sejak dari awal penubuhannya.

September lalu, presiden Toyota iaitu Akio Toyoda, atas kapasitinya sebagai pengerusi Persatuan Pengeluar Automobil Jepun (JAMA) menggesa kerajaan Jepun agar tidak menurut apa yang dibuat oleh Kesatuan Eropah secara membuta tuli.

“Dalam mencapai neutraliti karbon, musuhnya adalah karbon dioksida, bukan enjin pembakaran dalaman. Bagi mengurangkan emisi karbon dioksida, perlu ada inisiatif praktikal dan mampan yang selari dengan situasi yang berbeza di pelbagai negara dan rantau. Apa yang perlu kita lakukan untuk berberapa tahun akan datang adalah untuk memanfaatkan kelebihan teknologi yang telah kita bangunkan dan mengambil langkah segera bagi mengurangkan penghasilan CO2 menggunakan kenderaan yang diberikan teknologi elektrifikasi yang kita ada sekarang,” kata bos besar Toyota berkenaan.

“Kerajaan Jepun telah menentukan pelbagai sasaran, mungkin mengambilkira berkenaan COP26 akan datang, tetapi apa yang utama hanya sasaran yang mereka tunjukkan pada kita, dan yang kedua, sasaran tersebut dilihat berdasarkan polisi tersebut dibincangkan di Eropah, bukan pada situasi sebenar di Jepun. Sebab itulah saya mahu anda memahami bahawa langkah kearah neutral karbon adalah berbeza pada setiap negara,” tegas Toyoda lagi.

Pandangan Toyota tersebut sentiasa konsisten di mana jenama tersebut sentiasa membuka peluang untuk semua jenis pilihan rangkaian kuasa, bertentangan dengan kaedah banyak jenama lain yang kini hanya menumpukan kepada teknologi EV.

Teknologi hibrid Toyota menjadi pencetus terhadap teknologi sel bahan api hidrogen untuk kereta-kereta masa hadapan, dan kini Toyota turut membuat eksperimen terhadap enjin pembakaran dalaman yang menggunakan hidrogen sebagai bahan api.

Namun Toyota bukan anti terhadap kereta elektrik penuh. Ia telahpun mendedahkan crossover EV yang digelar bZ4X yang dihasilkan bersama Subaru (dijelmakan sebagai Subaru Solterra) yang bakal dijual di bilik pameran bermula pertengahan 2022. Divisi mewahnya iaitu Lexus juga kini sedang membangunkan kereta elektrik penuh yang bakal didedahkan tahun hadapan.

Wakil Toyota di Malaysia iaitu UMW Toyota Motors (UMWT) juga turut memperlihatkan halatuju yang sama dengan menyifatkan teknologi hibrid ini sebagai “jambatan yang realistik” terhadap teknologi elektrifikasi. UMWT sudahpun menunjukkan kesungguhan mereka dan bakal melancarkan Corolla Cross Hybrid tidak lama lagi, yang diproduksi secara tempatan di fasiliti baharu mereka di Bukit Raja, Klang.

“Kami sangat positif bahawa HEV merupakan pilihan lebih mudah diakses dan realistik untuk pelanggan di Malaysia dari aspek praktikaliti dan infrastruktur, dengan potensi besar di Malaysia. Ia merupakan jambatan yang realistik terhadap elektrifikasi kenderaan sementara pelbagai usaha yang masih dibuat bagi merealisasikan penggunaan BEV, seperti pengurangan kos, penambahbaikkan gabungan kuasa dan pembangunan infrastrutur,” kata Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama.

Dalam acara yang sama, Datuk Zainal Abidin turut mendedahkan bahawa Daihatsu Rocky e-Smart Hybrid yang dilihat sedang diuji di Kuala Lumpur baru-baru ini sememangnya milik Perodua, dan mereka sedang membuat kajian terhadap pasaran kenderaan hibrid di Malaysia.

Bagi yang belum mengetahui, kelibat Rocky e-Smart Hybrid tersebut di lihat di Malaysia sebelum model berkenaan didedahkan secara rasmi di Jepun sendiri, memperlihatkan betapa serius Perodua terhadap usaha tersebut. Tambahan pula Rocky merupakan kembar kepada SUV Perodua Ativa di Malaysia, dan tidak mustahil Ativa turut akan ditawarkan dalam versi hibrid selepas ini.

Sekarang jelas bahawa Perodua dan Toyota kini senada terhadap pandangan mereka kepada masa hadapan teknologi elektrifikasi, dan dengan vokal menyatakan kenderaan elektrik penuh bukanlah langkah solusi total jika dilihat dari sudut well-to-wheel.

Untuk pengetahuan anda, di semenanjung Malaysia, 65.84% tenaga elektrik yang dijana adalah dari loji arang batu tahun lalu, diikuti dengan gas pada kadar 29.67%. Tenaga yang lestari iaitu dijana oleh loji hidro hanyalah berjumlah 3.78%, diikuti janaan solar mewakili hanya 0.7%.

Ini baru kita bercerita berkenaan janaan elektrik, tidak termasuk lagi kesan-kesan terhadap alam sekitar yang lain bagi mendapatkan bahan-bahan mineral seperti nikel dan kobalt untuk menghasilkan bateri-bateri berkuasa tinggi khas untuk kereta elektrik berkenaan. Jadi apa pula pendapat anda? Adakah Malaysia perlu mengikut apa yang dibuat oleh Thailand dan Indonesi, atau lebih realistik seperti apa yang disebut oleh bos Perodua ini?

The post Perodua tegaskan bahawa teknologi hibrid adalah lebih mesra alam di M’sia berbanding elektrik penuh appeared first on Paul Tan's Automotive News.


Post a Comment

0 Comments