Pasaran SUV segmen B yang sudah sedia kompetitif di Malaysia nampaknya seperti akan menerima pesaing baru apabila Haval Jolion sudah ditemui di dalam negara. Sebagai rujukan, model ini baru sahaja dipertontonkan di Thailand beberapa minggu lepas, dan merupakan produk ketiga Haval di negara tersebut selepas Ora Good Cat dan SUV H6.
Jolion juga menggunakan platform modular Lemon Great Wall Motors, seperti H6, dan ia membenarkan pemasangan penggerak elektrik, seperti yang ditunjukkan oleh Jolion Hybrid yang dilancarkan di negara jiran. Suspensi menggunakan jenis MacPherson di hadapan dan torsion beam di belakang.
Dalam gambar yang kami terima ini, model berwarna putih tersebut dilihat menggunakan kit badan biasa, di mana gril, bampar, lampu, DRL serta penunjuk arah adalah berbeza berbanding model hibrid.
Bampar belakang model yang ditemui di Malaysia ini juga adalah lain berbanding model hibrid di Thailand, di mana bahagian bawahnya adalah berbeza. Turut boleh dilihat adalah rel bumbung serta bumbung suria.
Penggerak hibrid yang digunakan pada Jolion terdiri daripada gabungan enjin empat silinder 1.5 liter turbo bersama motor elektrik, dan dikatakan mampu menghasilkan sehingga 190 hp dan 375 Nm tork secara keseluruhannya.
Pelancaran rasmi Jolion Hybrid di Thailand akan berlangsung dalam bulan ini, dengan harga yang dikatakan berada antara 800,000 baht (RM100,400) dan 1,000,000 baht (RM125,500). Jika harga ini adalah betul, bermakna, ia lebih murah berbanding H6, yang dijual pada harga 1,145,000 baht (RM143,700) di Thailand.
The post Haval Jolion ditemui di Malaysia – pesaing Proton X50, Honda HR-V dari China bakal dilancarkan di sini? appeared first on Paul Tan's Automotive News.
0 Comments