Tidak lama lagi ada satu lebuhraya baharu yang bakal memulakan pembinaan di Pulau Pinang. Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri Zairil Khir Johari berkata projek pembinaan Lebuhraya Bertingkat Juru-Sungai Dua yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2025 dijadualkan bermula suku keempat tahun ini
Menurut beliau, projek itu dijangka siap sepenuhnya menjelang 2030 bakal mengurangkan kesesakan teruk di jajaran antara Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Sungai Dua termasuk di beberapa persimpangan seperti Jambatan Pulau Pinang, Perai, Permatang Pauh dan Sungai Dua, laporan Harian Metro.
“Lebuhraya sepanjang 17.4 km itu akan mempunyai jajaran bertingkat sejauh sembilan km melibatkan lapan fasa pembangunan. Ia juga akan merangkumi persimpangan tanpa lampu isyarat dan dua pusingan U bertingkat bagi melancarkan aliran trafik,” katanya.


Tambah beliau, kerajaan negeri sedia bekerjasama dengan Kementerian Kerja Raya (KKR) serta pihak berkaitan bagi memastikan projek ini berjalan lancar tanpa sebarang masalah besar. Menurutnya, konsep lebuhraya baharu itu akan memisahkan trafik tempatan dengan trafik aliran terus seperti yang dilaksanakan di Ipoh, Perak.
“KKR memaklumkan persetujuan bersama PLUS sudah dicapai iaitu bagi melaksanakan kerja-kerja fizikal bermula suku keempat tahun ini dan dijangka mengambil masa kira-kira tiga tahun untuk disiapkan. Jumlah kos sebenar akan dimuktamadkan, bagaimanapun saya difahamkan berlaku penjimatan iaitu lebih rendah daripada kos sebenar RM3 bilion seperti diumumkan sebelum ini,” katanya.
Selain pembinaan lebuh raya, Zairil berkata, beberapa persimpangan kritikal turut akan dinaik taraf termasuk persimpangan bertingkat Juru Utara (Autocity), persimpangan Jambatan Pulau Pinang serta tambahan jejambat dari Jalan Tun Hussein Onn ke Lebuhraya Utara-Selatan.





The post Projek Lebuhraya Juru-Sungai Dua bakal bermula suku keempat 2025 – 17.4 km; siap tahun 2030 appeared first on Paul Tan's Automotive News.
0 Comments