Persatuan Automotif Malaysia (MAA) mengeluarkan data jualan kenderaan bagi bulan Februari 2025, di mana sebanyak 63,906 unit kenderaan telah dihantar kepada pelanggan. Ia menunjukkan peningkatan sebanyak 31% atau lebih 15,174 unit berbanding rekod jualan pada Januari 2025 yang mencecah 48,732 unit.
Persatuan tersebut berkata peningkatan itu disebabkan oleh kestabilan pasaran selepas pulih daripada kemerosotan pada Januari 2025. Dengan perbandingan angka tahun ke tahun (YoY), walau bagaimana pun, jualan pada Februari 2025 turun hampir 2% daripada 65,017 unit yang dicatatkan pada Februari 2024. Bagi angka tahunan setakat ini (YTD), dua bulan pertama 2025 mencatatkan jualan sekitar 113,056 unit, kurang 14% berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu yang merekodkan 131, 938 unit.
Perlu diingat bahawa jualan kenderaan komersial untuk Februari 2025 adalah kurang 24% berbanding bulan yang sama tahun lalu. Sementara itu, jualan kenderaan penumpang meningkat sebanyak 45 unit. Setakat ini, jualan kenderaan penumpang dan komersial masing-masing turun sebanyak 12% dan 35% berbanding 2024.
MAA menjangkakan jumlah jualan akan lebih tinggi bagi bulan Mac 2025 berbanding Februari 2025 berikutan desakan untuk menghantar kenderaan sebelum cuti Hari Raya. Selain itu, syarikat juga menyasarkan untuk menyelesaikan penghantaran sebelum tahun kewangan berakhir pada 31 Mac 2025, dan Mac pula seringkali dikenali sebagai bulan rekod jualan yang tinggi.
Dari segi pengeluaran kenderaan, Februari 2025 merekodkan 61,545 unit, iaitu kurang 7% berbanding 66,464 unit bagi Februari 2024. Secara keseluruhan, angka pengeluaran YTD setakat Februari 2025 ialah 118,444 unit, turun 17% berbanding 143,516 unit bagi tempoh sama yang dicatatkan pada 2024.
The post Jualan kenderaan di Malaysia pada Feb 2025 naik 31% appeared first on Paul Tan's Automotive News.
0 Comments