Jualan kenderaan 2024 mengikut jenama di Malaysia berbanding 2023 — yang naik dan yang turun

Jualan kenderaan 2024 mengikut jenama di Malaysia berbanding 2023 — yang naik dan yang turun

Jualan kenderaan di Malaysia pada tahun 2024 berkembang mekar: untuk pertama kali jumlah keseluruhan industri (TIV) di sini melepasi angka 816,747 unit tahun lalu juga mengatasi jumlah di Indonesia yang secara relatifnya merupakan sebuah negara yang lebih besar dengan penduduk jauh lebih ramai sekitar 300 juta orang. Itu juga merupakan kali pertama TIV mencecah angka 800k unit kenderaan.

Secara ringkasnya, 2024 menjadi tahun yang mengujakan untuk pengeluar kenderaan di Malaysia. Untuk lebih jelas, kami sediakan pecahan data jualan kenderaan mengikut jenama dengan sumber data dari Persatuan Automotif Malaysia (MAA). Namun, bukan semua mencatatkan peningkatan — ada lebih banyak tanda merah seperti yang boleh dilihat dalam jadual yang disediakan.

Antara penyumbang besar rekod TIV bagi tahun 2024 tentulah Perodua. Sekiranya syarikat itu tidak mengatasi sasaran yang ditetapkan tahun lalu (pada 2023, angkanya adalah 330,325 unit) sebanyak 27,777 unit (untuk menjadikannya 358,102 unit, +8.4%), rekod berkenaan mungkin tidak dapat dicapai.

Menarik juga untuk perhatikan, Perodua mencapai angka tersebut sebenarnya tanpa pengenalam model baru (atau tanpa sebarang kempen umum sebelum KLIMS) bagi 2024. Pelancaran model baru terakhir Perodua adalah pada Februari 2023 ketika memperkenalkan Axia.

Jualan kenderaan 2024 mengikut jenama di Malaysia berbanding 2023 — yang naik dan yang turun

Untuk itu, Perodua juga mencatat peratusan perkongsian pasaran pengeluar tempatan yang lebih tinggi, dengan 61.9% (67.7% bagi kenderaan penumpang). Ini suatu angka yang tinggi. Ini kerana, di sisi lain, Proton sebaliknya menyaksikan penurunan jualan yang pertama sejak 2018. Menurut angka MAA, Proton menjual sebanyak 147,587 unit pada 2024, iaitu 2.2% lebih rendah berbanding 2023. Mengapa angka ini tidak sama dengan angka 152,352 unit yang dikeluarkan oleh Proton? Kerana Proton mengambil kira sekali angka untuk pasaran eksportnya.

Akhir-akhir ini, Proton banyak bergantung kepada jualan SUV keluarannya, sekaligus beralih daripada kedudukan lebih rendah dalam skala harga kenderaan kepada segmen pasaran dengan harga lebih tinggi, antara RM100k hingga RM150k — dan bersaing dengan pengeluaran bukan nasional.

Segmen berkenaan tentulah mempunyai pemain yang ingin mempertahankan kedudukan mereka: Toyota dan Honda. Walaupun dengan sedikit penyusutan jualan (-5.2% menjadi 100,701 unit), Toyota kekal mendahului dengan selesa di depan Honda yang menduduki tangga keempat, disumbangkan antaranya oleh barisan kenderaan komersialnya. Jika tidak mengambil kira trak dan van Toyota (yang mana Honda tidak ada wakil dalam pasaran), Honda akan kekal didepan untuk segmen kereta penumpang paling laris di Malaysia — jualan naik 2.1% menjadi 81,699 unit.

Honda juga menjadi satu-satunya jenama Jepun yang tidak mencatatkan penyusutan jualan (tanda merah dalam jadual). Mitsubishi misalnya mencatatkan penyusutan jualan lebih banyak (-25.6%) berbanding Toyota; sementara Mazda (-24%), Isuzu (-21.5%) dan Nissan (-22.2%).

Jualan kenderaan 2024 mengikut jenama di Malaysia berbanding 2023 — yang naik dan yang turun

Nissan pula tidak lagi berada dalam kedudukan 10 jenama teratas (kini di tangga ke-11); dua jenama China sebaliknya mula tersenarai. Chery kini berada di kedudukan ketiga bagi pengeluar bukan nasional (ke-13 pada 2023) dengan keseluruhan jualan 19,683 unit — yang meningkat sebanyak 338.1% berbanding tahun sebelumnya.

Menyumbang kepada angka itu ialah model SUV Jaecoo J7. Angka jualan jenama yang lebih premium itu, yang beroperasi berasingan daripada Chery, telah digabung untuk memberikan angka keseluruhan tersebut. Chery dan Jaecoo juga bersaing hanya dalam segmen SUV sepenuhnya.

Mitsubishi pula jatuh ke tangga keenam, walaupun dengan dua pelancaran utama tahun lalu (Xpander facelift dan Triton serba baru). Ini juga kerana kedua-dua pengenalan tersebut berlangsung dipenghujung tahun lepas, dengan MMM juga hanya ada dua model ini untuk pasaran Malaysia. Jualan trak pikap pula terkesan dengan pelarasan semula subsidi diesel, dan jangkaan perkara sama untuk RON 95 tahun ini juga tentunya akan memberi kesan sama. Kita lihat nanti.

Lain pula ceritanya dengan EV. Jualan EV di Malaysia semakin meningkat, dengan BYD mendahului saingan. Jualannya melonjak sebanyak 130% menjadi 8,570 unit — sekaligus merampas kedudukan ke-10 daripada Nissan. BYD Atto 3 menjadi EV paling laris di Malaysia pada 2024 dengan jualan 2,969 unit: sembilan unit lebih banyak berbanding Seal. BYD kini turut menjual model SUV Sealion 7 dan MPV M6, selain Dolphin.

Jualan kenderaan 2024 mengikut jenama di Malaysia berbanding 2023 — yang naik dan yang turun Jualan kenderaan 2024 mengikut jenama di Malaysia berbanding 2023 — yang naik dan yang turun

Tesla pula tidak berada dalam senarai ini kerana syarikat itu bukan ahli MAA. Namun, berdasarkan rekod pendaftaran JPJ, sebanyak 2,824 unit Model 3 dan 2,300 unit Model Y telah didaftarkan tahun lalu. Angka ini tidak membolehkan Tesla untuk berada dalam kedudukan 10 teratas.

Untuk segmen premium, walaupun dengan jualan yang turun sebanyak 12.1%, BMW masih berhasil untuk berada di kedudukan kesembilan dengan jualan 10,527 unit — mendahului Mercedes-Benz (7,114 unit; -23.6%, tangga ke-12). Perlu juga dinyatakan, terdapat percanggahan angka yang diberikan oleh BMW kepada MMA (lebih tinggi) berbanding pendaftaran JPJ, yang sepatutnya lebih tinggi kerana data JPJ turut mengambil kira unit import persendirian.

Selebihnya, semua jenama menyaksikan penurunan jualan dalam tanda merah; INI -22.3%, Subaru -28.5%, Volvo -29.1%, Ford -29.6%, Volkswagen -36.3% dan penurunan besar untuk Hyundai dengan -42.9%. MG pula yang baru saja genap setahun dijual di sini mencatatkan jualan 1,153 unit. Lotus pula mencatatkan jualan 49 unit, naik 48.5% berbanding tahun 2023 yang hanya merekodkan 33 unit. Renault pula hanya menjual lapan kereta baru sepanjang 2024.

Kia, yang dikendalikan oleh Bermaz pula tidak lagi melaporkan angka jualannya kepada MAA. Sama seperti tahun lalu bagi Kia dan Peugeot. Peugeot kini telah beralih tangan dan diuruskan oleh Stellantis, yang tetap tidak mendedahkan angka jualannya. Jenama EV smart dan Xpeng pula bulan ahli MAA.

The post Jualan kenderaan 2024 mengikut jenama di Malaysia berbanding 2023 — yang naik dan yang turun appeared first on Paul Tan's Automotive News.


Post a Comment

0 Comments