Ahli Parlimen kerajaan, Jimmy Puah (PH-Tebrau) mencadangkan agar kenderaan yang berumur 15 tahun ke atas wajib untuk menjalani pemeriksaan sebelum memperbaharui cukai jalan setiap tahun.
Laporan FMT menyatakan bahawa Puah memberitahu Dewan Rakyat langkah tersebut adalah penting kerana kereta lama lebih berpotensi untuk rosak, seterusnya menyebabkan kesesakan jalan raya serta membahayakan pengguna jalan raya yang lain.
Beliau turut mencadangkan agar kerajaan menyediakan insentif tunai bagi menggalakkkan pemilik-pemilik untuk melupuskan kereta lama, dan menyifatkan langkah tersebut adalah cara yang berkesan bagi melupuskan kereta yang sudah berusia di atas jalan raya.
Puah juga mendedahkan bahawa kenderaan di Malaysia sekarang telah melebihi 36.6 juta, atau sudah melepasi jumlah populasi, tidak termasuk kanak-kanak di bawah 17 tahun dan warga emas 80 tahun ke atas. “Ini bermakna hampir semua rakyat Malaysia memiliki dua buah kereta,” katanya.
Beliau turut memetik data dari Persatuan Automotif Malaysia yang menyatakan bahawa pendaftaran kereta baharu pada 2025 akan mencecah 800,000 unit, dan menambah lebuhraya dan jalan di kawasan bandar kini telah sesak.
“Ke mana sahaja kita pergi, jalan raya kita penuh dengan kereta. Hari ini, Lebuhraya Utara-Selatan pun sesak. Keadaan bertambah buruk pada hujung minggu dan musim perayaan,” tambahnya.
The post Ahli Parlimen PH-Tebrau cadang wajibkan pemeriksaan terhadap kenderaan lebih dari 15 tahun appeared first on Paul Tan's Automotive News.
0 Comments