Bersempena dengan ulang tahun SU7 yang pertama hujung minggu lalu, Xiaomi mengumumkan kereta pertama mereka itu sudah mencapai sasaran jualan tahunan sebanyak 130,000 unit. Ini adalah sasaran yang dilaras semula menjadi lebih tinggi selepas pada 18 November, sedan elektrik itu sudah mencapai sasaran awal 100,000 unit.
Jumlah ini dapat dicapai meskipun SU7 hanya mula dibuka untuk jualan pada penghujung bulan Mac, menjadikan tempoh jualannya bagi tahun 2024 hanya sembilan bulan sahaja. Model ini ternyata popular dengan keseluruhan unit yang akan dikeluarkan untuk tahun 2024 sudah terjual dalam masa 24 jam selepas pelancarannya dan pada satu masa, tempoh menunggunya mencecah sehingga tujuh bulan.
Syarikat teknologi ini juga pandai mengekalkan minat pengguna terhadap SU7 dengan memperkenalkan pula versi prestasi tinggi, Ultra pada bulan Oktober. Sedan terpantas di dunia ini menggunakan tiga motor untuk menghasilkan 1,548 PS, dan membolehkan ia untuk memecut 0-100 km/j dalam masa 1.98 saat – lebih laju daripada Tesla Model S Plaid, Lucid Air Sapphire dan Porsche Taycan Turbo GT.
Pakej penggerak sama digunakan pada model versi litar, Ultra Prototype, yang mencatat rekod 6 minit 46.874 saat untuk kenderaan empat pintu di Litar Nurburgring. Jualan untuk model produksi dijangka berlaku pada bulan Mac tahun depan.
Juga akan dilancarkan pada tahun 2025 adalah kereta kedua Xiaomi, YU7 yang merupakan sebuah SUV. Jualannya dijangka bermula pada bulan Jun atau Julai, dan ia mempunyai penampilan mirip seperti Ferrari Purosangue dan dijangka mempunyai kuasa yang lebih tinggi berbanding SU7 Max (673 PS).
The post Xiaomi SU7 terjual 130k unit, capai sasaran tahun ini appeared first on Paul Tan's Automotive News.
0 Comments