Pengedar jenama EV Proton eMas iaitu Pro-Net mengumumkan bahawa model pertamanya yang baru dilancarkan awal minggu lalu, Proton eMas 7 kini sudahpun ditempah sebanyak 2,500 unit. Tempahan SUV elektrik segmen-C tersebut sebelum ini telahpun mula dibuka bermula akhir Oktober lalu.
“Kesungguhan yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia terhadap Proton eMas 7 mencerminkan kesediaan mereka untuk menerima mobiliti lestari. Dengan gabungan ciri inovatif dan nilai yang luar biasa, Proton eMas 7 direka untuk menjadi pilihan ideal bagi mereka yang ingin beralih ke kenderaan elektrik. EV ini merupakan satu langkah besar ke hadapan, bukan sahaja untuk Proton tetapi juga untuk masa depan automotif hijau di Malaysia,” kata Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net.
Proton eMas 7 ditawarkan dalam dua varian iaitu Prime dijual pada harga RM109,800 dan juga Premium berharga RM123,800. Ketika dilancarkan Proton turut menawarkan diskaun sebanyak RM4,000 menjadikan varian Prime dijual pada harga bermula RM105,800 dan varian Premium pula RM119,800, tetapi hanya untuk 3,000 pembeli terawal. Ini bermakna hanya tinggal kira-kira 500 unit sahaja lagi yang akan menerima diskaun istimewa tersebut.
Kedua-duanya berkongsi unit rangkaian kuasa yang sama iaitu motor elektrik tunggal ’12 dalam 1′ yang memacu roda hadapan berkuasa 218 PS dan tork maksima 320 Nm. Konfigurasi tersebut cukup untuk membolehkan eMas 7 memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat dan mencapai kelajuan maksima 175 km/j.
Kedua-duanya juga menerima bateri lithium logam fosfat (LFP) “bilah pendek” Aegis yang dibangunkan oleh Geely sendiri, tetapi varian Prime menerima bateri berkapasiti 49.52 kWj dengan jarak perjalanan 345 km, manakala Premium pula diberikan bateri berkapasiti 60.22 kWj yang memberikan jarak 410 km – kedua-duanya mengikut kitaran ujian WLTP.
Proton memberikan perlindungan waranti kenderaan selama enam-tahun tanpa had perbatuan dan juga waranti untuk bateri dan komponen-komponen terlibat selama lapan-tahun atau 160,000km. Juga semua pembeli akan diberikan pengecas rumah dan juga adaptor sistem V2L yang bernilai RM2,000 secara percuma, dan pakej data internet tanpa had untuk lima-tahun juga secara percuma.
Untuk perincian lebih lengkap tentang spesifikasi Proton eMas 7 ini boleh anda baca pada laporan pelancarannya pada PAUTAN INI. Sebelum dilancarkan, kami telah berpeluang memandu uji Proton eMas 7 ini di litar ujian Proton yang terletak dalam fasilitinya di Hicom Shah Alam. Jadi kalau nak tahu apa pandangan awal kami terhadap model ini, anda boleh baca laporannya pada PAUTAN INI.
GALERI: Proton eMas 7 Premium 2025
GALERI: Proton eMas 7 Prime 2025
GALERI: Gambar rasmi Proton eMas 7 EV 2025
The post Proton eMas 7 – sebanyak 2,500 unit telah ditempah appeared first on Paul Tan's Automotive News.
0 Comments