Dalam laporan yang dikeluarkan oleh Maybank Investment Bank, Bermaz Auto (BAuto) dikatakan bakal menambah Deepal dalam portfolio kenderaan di bawah pengurusannya, yang kini termasuk Mazda, Kia dan Xpeng. Deepal dimiliki oleh Changan Automobile, yang juga mempunyai Changan Auto dan Avatr di bawahnya.
Menurut Maybank lagi, model pertama Deepal dijangka dilancarkan di Malaysia pada pertengahan tahun 2025, dengan berkemungkinan besar diimport dari Thailand. Kilang Deepal di Rayong akan bula beroperasi pada Mac tahun hadapan.
Ada dua model yang dilihat berpotensi masuk ke Malaysia, iaitu S05 dan S07. S05 baru sahaja dilancarkan di China Oktober lalu dan ia melihatkan saiz lebih besar berbanding BYD Atto 3. Di sana, model elektrik penuh (EV) itu dijual pada harga antara 119,900 ke 145,900 yuan (RM74k-RM90k) dan dilengkapi bateri lithium iron phosphate (LFP) 56.12-kWh, mampu memberi jarak gerak sehingga 510 km (CLTC).
Tenaga daripada bateri ini menghidupkan motor elektrik belakang yang berkuasa 238 PS (235 hp atau 175 kW) dan tork 320 Nm, membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 7.3 saat. Ia boleh dicas menggunakan sumber DC, dan bateri akan naik 30-80% dalam masa 15 minit.
S05 ini juga datang dalam versi Range-Extended Electric Vehicle (REEV) yang menggunakan bateri LFP lebih kecil, iaitu 27.28 kWh (30-80% SoC dalam 20 minit), motor elektrik 218 PS (215 hp atau 160 kW) dan 320 Nm, dengan catatan 0-100 km/j 7.9 saat. Ia digabungkan bersama enjin 1.5 liter 98 PS (97 hp atau 72 kW).
Jika menggunakan kuasa elektrik sahaja, S05 REEV boleh bergerak sehingga 200 km (CLTC)/150 km (WLTC), sementara apabila kedua-dua penggerak digabungkan, ia boleh mencecah 1,234 km.
Melihat kepada S07 pula, ia dilancarkan di China Julai lalu, dengan bukan sahaja dalam versi EV, tetapi juga range-extended. Kesemuanya ada empat varian, dengan harga antara 149,900 ke 176,900 yuan (RM92k-RM109k). Saiznya hampir seperti Tesla Model Y.
Sama seperti S05, S07 REEV juga mempunyai enjin 1.5 liter dan pacuan roda belakang. Perbezaannya adalah pada kapasiti bateri LFP serta kuasa motor elektriknya. Varian permulaan dengan bateri 19.99 kWh mampu menghasilkan kuasa 238 PS (235 hp atau 175 kW) dan 320 Nm, manakala jarak geraknya pula adalah 125 km (CLTC) apabila menggunakan elektrik sahaja dan 1,045 km (CLTC) apabila menggunakan gabungan enjin dan motor.
Varian paling atas mendapat bateri 39.05 kWh, memberikan jarak gerak EV yang lebih tinggi, iaitu 285 km (CLTC) dan 1,200 km (CLTC) dengan sistem hibridnya. Kuasa keseluruhan adalah 258 PS (255 hp atau 190 kW) dan 320 Nm, dan ia boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.6-7.8 saat. Semua varian boleh dicas 30-80% dalam masa 15 minit.
Untuk S07 versi elektrik penuh, dua varian yang ditawarkan di China menggunakan bateri LFP 68.82 kWh, memberikan jarak gerak 520 km (CLTC) dan boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.6 saat, hasil daripada motor elektrik berkuasa 258 PS (255 hp atau 190 kW) dan 320 Nm.
Thailand sudah menerima S07 ini, dengan dua varian EV ditawarkan. S07 biasa dijual pada harga 1.399 juta baht (RM180k), dengan perincian seperti bateri nickel manganese cobalt (NMC) 66.8 kWh, jarak gerak 485 km (NEDC) dan motor elektrik 258 PS (255 hp atau 190 kW) dan 320 Nm. S07 L pula berharga 1.499 juta baht (RM193k), datang dengan bateri NMC 79.97-kWh, jarak gerak 560 km (NEDC) serta motor elektrik 218 PS (215 hp atau 160 kW) dan 320 Nm.
The post Bermaz peroleh hak pengedaran Deepal di Malaysia – SUV EV S05 dan S07 dijangka tiba tengah tahun depan appeared first on Paul Tan's Automotive News.
0 Comments