Diperkenalkan kali pertama kepada dunia penghujung tahun lepas, Yamaha MT-09 generasi baru 2024 kini tiba di Malaysia dengan harga jualan RMRM57,998 tidak termasuk insurans. Dua warna ditawarkan iaitu Tech Black dan Midnight Cyan.
MT-09 baru ini menerima banyak peningkatan, dengan yang pertama tentunya penampilan di mana keseluruhan panel badannya adalah baru termasuklah lampu hadapan LED yang kini lebih kompak dan kembali menggunakan DRL melintang di bawah. Tangki bahan api masih lagi berkapasiti 14 liter, tetapi bentuknya diubah sedikit.
Sebagai sebuah motosikal yang dibuat untuk menjadi lincah dan stabil, ergonomik memainkan peranan penting dan ia telah diperhalusi pada model baru ini dengan melibatkan perubahan pada kedudukan pemegang (boleh laras) serta tempat letak kaki. Tempat duduk leper pada MT-09 sebelum ini sekarang sudah diganti dengan unit berasingan antara penunggang dan penumpang. Tingginya sekarang adalah 825 mm.
Panel meter TFT pada MT-09 2024 dinaik taraf dengan unit lima inci baru, yang mempunyai lima tema paparan dan boleh disambungkan kepada aplikasi MyRide (percuma) di telefon bimbit untuk paparan fungsi notifikasi, panggilan, muzik dan navigasi.
Tiga mod tunggangan yang disediakan sebelum ini iaitu Sport, Street dan Rain masih ada, tetapi sekarang ia ditambah dengan dua lagi mod yang tahap kuasa serta campur tangan elektroniknya boleh ditetapkan sendiri oleh penunggang. Kawalan untuk semua fungsi pada motosikal dan skrin boleh dibuat melalui butang baru di sebelah kiri pemegang.
Sejak 2021, MT-09 sudah dilengkapi unit pengukur inertia (IMU) 6-axis, yang memberikan input kepada sistem Traction Control (tiga mod), Slide Control System (SCS), Front Wheel Lift Control System (LIF) dan Brake Control System (BC).
Kini, ia dipertingkat lagi Back Slip Regulator, yang boleh membantu stabiliti motosikal apabila roda belakang terkunci semasa brek dengan kuat. Selain daripada itu, lampu penunjuk arah MT-09 2024 juga sudah boleh tutup sendiri manakala apabila membrek kuat, Emergency Stop Signal (ESS) akan menyala.
Bahagian lain masih sama seperti MT-09 yang menerima perubahan besar pada tahun 2020 dan diperkenalkan di negara kita pada tahun 2021, bermula dengan bahagian enjin iaitu unit CP3 tiga silinder 889 cc, bersama kotak gear enam kelajuan dengan klac A&S dan quickshifter (kini standard), menghasilkan kuasa 119 PS pada 10,000 rpm dan tork 93 Nm pada 7,000 rpm.
Suspensi MT-09 2024 masih lagi menggunakan fork USD 41 mm serta monoshock yang boleh dilaras sepenuhnya (kadar spring dipertingkat), manakala brek menggunakan pam utama radial Brembo untuk menghantar tekanan minyak kepada set berkembar angkup empat piston dan cakera 298 mm di hadapan. Di belakang menggunakan cakera 245 mm dan angkup satu piston. Berat keseluruhan MT-09 2024 adalah 193 kg dan tinggi tempat duduknya adalah 825 mm.
The post Yamaha MT-09 2024 dilancarkan di Malaysia – generasi baru terima pelbagai peningkatan, harga RM57,998 appeared first on Paul Tan's Automotive News.
0 Comments