Walaupun sebelum ini penyarasan subsidi bahan api petrol RON 95 dijangka akan diumumkan tahun ini, dalam Belanjawan 2025 yang sedang dibentangkan oleh Perdana Menteri merangkap menteri kewangan pertama Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengesahkan langkah berkenaan hanya akan dijalan pada pertengahan tahun 2025.
Tiada lagi tarikh tetap bila penyasaran itu akan dibuat, dan bagaimana ia akan dijalankan, namun Anwar memberitahu penyasaran subsidi ini hanya akan melibatkan golongan ‘mahakaya’ dan tidak akan menjejaskan 85% rakyat Malaysia.
Penyasaran subsidi bagi bahan api diesel telah pun dilaksanakan bermula pada Jun lalu tetapi hanya untuk Semenanjung Malaysia. Ia menyaksikan diesel Euro 5 B10 dan B20 di Semenanjung naik harga sebanyak RM1.20, atau 56% daripada kadar dengan subsidi sebelumnya, RM2.15 seliter kepada RM3.35 seliter. Diesel Euro 5 B7 pula lebih mahal 20 sen daripada itu, dan dijual pada harga RM3.55 liter ketika itu.
Namun harga diesel yang diapungkan tersebut kemudiannya turun mengikut harga semasa di mana diesel kini dijual pada harga RM2.95 seliter bagi B10 Euro 5 dan B20, manakala B7 Euro 5 pula dijual pada harga RM3.15 seliter.
Kerajaan masih memberikan subsidi diesel untuk kenderaan komersil untuk industri terpilih menerusi sistem kad flit, manakala pemilik kenderaan diesel dengan pendapatan di bawah RM100,000 setahun menerima subsidi dalam bentuk wang tunai sebanyak RM200 sebulan.
Seperti yang disebut tadi masih belum jelas bagaimana subsidi bagi petrol RON 95 ini akan diagihkan kelak, namun berdasarkan kenyataan bahawa hanya 15% rakyat yang tidak akan menerima subsidi ini, pemberian subsidi tersebut mungkin akan melibatkan pemilik kenderaan dengan pendapatan melebihi RM100,000 setahun.
Buat masa sekarang harga RON 95 tanpa subsidi dijual pada harga RM2.76 seliter.
The post Belanjawan 2025: Penyasaran subsidi bermula pertengahan tahun depan, tidak jejas 85% rakyat appeared first on Paul Tan's Automotive News.
0 Comments