Kadang kala bila kita sudah memandu atau menunggang dengan berhati-hati di jalan raya, ada pula pengguna lain yang membuat kesilapan menyebabkan kita terlibat sekali dalam kemalangan. Dan inilah yang menimpa seorang penunggang motosikal di Kerinchi Link baru-baru ini apabila tindakan sebuah kereta berhenti di tepi jalan menyebabkan nyawanya hampir melayang.
Kejadian ini berjaya dirakam menerusi kamera dashcam pengguna jalan raya yang lain dan ia dimuatnaik di laman sosial X. Dalam video tersebuh dapat dilihat ia berlaku di lebuhraya Kerinchi Link arah menuju ke PJ/Hartamas, dan ia terjadi apabila sebuah Perodua cuba untuk berhenti di tepi jalan.
Dengan situasi berlaku dengan tiba-tiba serta kawasan bahu jalan yang kecil serta ditutup dengan penghadang, kereta di belakangnya yang juga merupakan sebuah Perodua tidak sempat mengelak dan melanggar bahagian kanan kereta di hadapannya.
Pelanggaran tersebut menyebabkan kereta yang melanggar berpusing dan separa terbalik. Dan lebih malang penunggang motosikal di belakang tidak sempat mengelak kereta yang separa terbalik tersebut, menyebabkan dia tercampak ke lorong paling kanan selepas berlanggar.
Kejadian itu hampir meragut nyawa penunggang motosikal terbabit kerana ada sebuah Honda yang melalui lorong laju berkenaan. Namun nasib baik pemandu Honda tersebut berjaya mengelak penunggang yang tercampak itu. Kereta yang merakam kejadian ini juga hampir melanggar Perodua yang terbalik berkenaan dan hampir dilanggar oleh Honda di lorong laju tersebut, namun syukurlah ia tidak menjadikan situasi ini lebih teruk.
Kejadian ini adalah satu contoh di mana semasa memandu kita perlu menggunakan semua deria yang ada, dan perlu berfikir dahulu apa akibatnya jika satu-satu tindakan itu diambil. Elakkan untuk berhenti atau memperlahankan kenderaan secara tiba-tiba, dan sentiasa peka dengan tindakan serta pergerakan kenderaan lain – takut-takut ada kenderaan di hadapan mempunyai sebab kecemasan untuk berhenti dalam perjalanan, terutamanya ketika memandu di atas jalanraya seperti Kerinchi Link ini.
Maybe sebab ni la kat jalan raya tak boleh simply berhenti. Kesian gila rider. Hampir kena balas dengan Honda. pic.twitter.com/SMisHwxQxB
— Anaz. iDevice Repair (@annazrulan) September 4, 2024
The post Motosikal jadi mangsa kereta berhenti di tepi jalan di Kerinchi Link, hampir-hampir meragut nyawa appeared first on Paul Tan's Automotive News.
0 Comments