Semasa pelancaran Yamaha PG-1 Sabtu lalu, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) turut mempamerkan beberapa buah kapcai gaya adventure tersebut dalam versi yang sudah diubah suai oleh pembina tempatan dan juga yang menggunakan aksesori daripada Yamaha sendiri.
Pelbagai konsep cuba diketengahkan, dan yang berwarna kuning contohnya mungkin boleh dipanggil sebagai ‘bratstyle‘. Lebih sesuai digunakan dalam kawasan bandar, antara ubah suai yang menyerlah adalah seperti pemegang, tempat duduk serta sissy bar di belakang.
Kemudiannya beberapa perincian lain dibuat bagi menyesuaikan gayanya termasuk fender lebih tinggi, lampu bulat kecil berwarna kuning, meter analog bulat, fender belakang pendek serta penyerap hentak belakang dengan tabung gas.
Berada di sebelahnya adalah satu lagi PG-1, tetapi dengan konsep yang berbeza, iaitu cafe racer. Sesuai dengan karekter tersebut, pemegangnya diletakkan lebih rendah, tempat duduk hanya tinggal satu dan fender hadapan juga lebih pendek. Untuk menjadikannya unik, di bahagian kiri terdapat tempat untuk meletakkan skateboard.
PG-1 berwarna hijau gelap dengan celoreng hitam pula tampil dengan gaya lebih ganas, dipasang pelindung pada tempat-tempat penting dan ada antara aksesori yang digunakan datang sendiri daripada Yamaha. Menurut HLYM, aksesori ini turut akan dijual secara pakej melalui pengedarnya.
Satu lagi contoh PG-1 yang dibawa dipasang dengan aksesori Givi, iaitu beg di bahagian tepi dan belakang, lengkap bersama tapaknya. Kemudian di bahagian tengah pemegang juga diletakkan satu lagi beg khas untuk barang-barang kecil.
The post GALERI: Yamaha PG-1 versi ubah suai pelbagai gaya appeared first on Paul Tan's Automotive News.
0 Comments