Sudah lebih satu dekad inflator beg udara keluaran Takata Corporation dikesan bermasalah dan berpotensi menyebabkan kecederaan, dan lebih teruk boleh membawa kematian, seterusnya berlangsung panggilan semula terhadap banyak jenama automotif yang menggunakan komponen tersebut. Namun sehingga kini siri panggilan semula itu seakan tidak berpenghujung.
Terbaharu, BMW dilaporkan membuat panggilan semula terhadap 394,000 unit kenderaan jenamanya yang dijual di Amerika Syarikat berhubung masalah sama.
Notis panggilan semula yang dikeluarkan oleh Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuhraya Nasional (NHTSA) Amerika Syarikat ini masih memberikan sebab yang sama iaitu unit inflator beg udara tersebut mungkin boleh pecah sewaktu mengaktifkan beg udara ketika kemalangan, seterusnya serpihan-serpihan besi dari badan inflator yang pecah berkenaan mungkin boleh menyebabkan kecederaan atau kematian kepada penumpang kenderaan tersebut.
BMW menjelaskan bahawa penggilan semula kali ini turut melibatkan kenderaan yang sudahpun dipanggil semula sebelum ini, tetapi roda stereng kenderaan-kenderaan berkenaan berkemungkinan telah dipasang semula dengan beg udara gantian yang masih bermasalah.
Panggilan semula terbaharu ini meliputi model BMW 3 Series Sedan dan Sportswagon keluaran 2006 hingga 2012 (merangkumi generasi E90 dan F30). Kesemua kereta yang terjejas ini akan diperiksa sama ada ia dipadankan dengan inflator beg udara yang mungkin rosak. BMW menyatakan bahawa tidak ada sebarang kemalangan atau kecederaan yang berkaitan dengan penarikan semula baru ini dalam pengetahuannya.
Manakala dalam laporan Reuters, NHTSA menyatakan bahawa pihaknya telah mengenal pasti kematian yang berlaku di AS dikaitkan dengan inflator beg udara Takata pecah dalam nahas BMW di Arizona pada 2020. Kegagalan beg udara Takata ini telah menyebabkan lebih 30 kematian di seluruh dunia – termasuk sekurang-kurangnya 26 di AS – dan beratus-ratus kecederaan sejak 2009. Mangsa-mangsa yang terlibat adalah pemandu dan penumpang yang berada dalam kereta yang dibuat oleh pelbagai jenama.
Panggilan semula beg udara Takata ini juga belum berakhir di Malaysia. Mac lalu pengedar rasmi jenama Audi untuk pasaran tempatan iaitu PHS Automotive Malaysia (PHSAM) menggesa pemilik-pemilik kenderaan jenama tersebut agar memeriksa sama ada kereta mereka terlibat atau tidak dengan panggilan semula ini.
Model-model Audi di Malaysia yang terjejas dengan panggilan semula itu termasuk Audi Q5, A5 Cabriolet, A5 Sportback, TT dan R8, manakala peratusan pemilik yang telah datang menukar komponen terjejas tersebut hanya berada pada kadar 25%.
The post BMW panggil semula hampir 400k unit kereta di AS kerana beg udara Takata; libatkan 3 Series 2006-2012 appeared first on Paul Tan's Automotive News.
0 Comments