Kerajaan telah memulakan program rasinolisasi subsidi diesel, dengan mengumumkan harga diesel di Malaysia akan diapungkan dan ditetapkan pada harga runcit RM3.35 seliter mulai 12.01 tengahmalam ini, 10 Jun 2024.
Ini bermakna, mulai esok, harga diesel akan dinaikkan sebanyak RM1.20 berbanding harga sebelum ini iaitu RM2.15 seliter, yang dikekalkan sejak Februari 2021. Kementerian Kewangan berkata, harga baharu tersebut hanya melibatkan semua stesen minyak di Semenanjung Malaysia sahaja. Manakala harga untuk Sabah dan Sarawak masih dikekalkan pada RM2.15 seliter.
Menurut Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah, harga runcit baharu bahan api itu adalah berdasarkan formula mekanisme harga automatik (APM) bagi bulan Mei.
Selain itu, di bawah implementasi subsidi diesel bersasar ini, kerajaan juga telah menetapkan harga diesel untuk sektor yang layak menerima Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0, yang menyediakan fleet card kepada kenderaan logistik yang layak, ditetapkan pada harga RM2.15 seliter. Ini bertujuan bagi mengurangkan kenaikan harga barangan keperluan pengguna.
Manakala harga runcit diesel di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 1.0 iaitu untuk pengangkutan awam termasuk bas sekolah, bas ekspres, ambulans dan jentera bomba pula dikekalkan pada RM1.88 seliter. Begitu juga dengan subsidi diesel bagi nelayan turut dikekalkan pada harga RM1.65 seliter.
Menurut Amir lagi, seramai 30,000 pemilik kenderaan diesel persendirian dari kategori B40 akan menerima RM200 menerusi program Budi Madani yang akan didepositkan ke akaun masing-masing mulai tengah malam ini.
Pengapungan harga diesel itu susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 21 Mei bahawa kerajaan akan melaksanakan subsidi bahan api bersasar, bermula dengan diesel di semenanjung, dengan diikuti Sabah dan Sarawak pada waktu yang akan diumumkan kelak.
The post Rasionalisasi subsidi bahan api bermula – harga diesel dinaikkan ke RM3.35 seliter mulai 10 Jun 2024 appeared first on Paul Tan's Automotive News.
0 Comments