Ini adalah satu lagi produk hasil kerjasama Toyota dan Suzuki. Namanya adalah Toyota Urban Cruiser Taisor, baru dilancarkan di India dan menggunakan asas daripada Maruti Suzuki Fronx. Dengan ukuran bawah empat meter, SUV ini akan bersaing dalam pasaran dengan Nissan Magnite, Renault Kiger, Tata Nexon, Hyundai Venue, Kia Sonet dan Mahindra XUV300.
Tiga enjin ditawarkan melalui Taisor ini, dengan yang pertama adalah unit petrol empat silinder 1.2 liter NA (K12N) berkuasa 90 PS (89 hp atau 66 kW) dan tork 113 Nm. Enjin Dualjet ini dipadankan bersama transmisi manual lima kelajuan atau automatik manual, dengan kuasa dihantar kepada roda hadapan.
Seterusnya adalah unit tiga silinder turbo 1.0 liter (K10C) berkuasa 100 PS (99 hp atau 73.6 kW) dan tork 147.6 Nm. Enjin petrol ini juga dipadankan bersama transmisi manual lima kelajuan, serta pilihan automatik enam kelajuan. Akhir sekali adalah enjin K12N versi gas asli mampat (CNG), yang mampu menghasilkan 77 PS (76 hp atau 57 kW) dan 98.5 Nm, dipadankan hanya bersama transmisi manual lima kelajuan.
Secara visualnya, Taisor ini nampak sama sahaja dengan Fronx, tetapi diberikan beberapa perubahan kecil oleh Toyota. Sebagai permulaan, anda boleh lihat corak DRL Taisor menggunakan garis melintang, manakala grilnya menggunakan kemasan dalaman yang berbeza. Pada bahagian belakang, pencahayaan lampu juga adalah berlainan.
Bahagian dalam pula tidak mempunyai sebarang beza. Terletak di atas butang kawalan pendingin hawa adalah skrin sesentuh sama ada tujuh inci atau sembilan inci, bergantung kepada varian. Kemasan panel warna merah gelap dan hitam adalah standard untuk semua varian, bersama tempat duduk yang dibalut fabrik serta kelengkapan lain seperti sistem tanpa kunci, rim 16 inci, VSC, Hill Hold Assist, ABS, EBD, pengesan undur, ISOFIX serta dua beg udara.
Varian yang lebih tinggi pula mendapat kelengkapan seperti lampu utama LED multi-reflector, beg udara sisi dan bidai, head-up display, kamera 360 darjah, sambungan Android Auto dan Apple CarPlay, enam pembesar suara, pad pengecas tanpa wayar, cruise control, corong udara di belakang serta telematik iConnect.
Harga untuk Taisor bermula dari 773,500 rupees (sekitar RM44k) dan pergi sehingga 952,500 rupee (sekitar RM54k) untuk varian bukan turbo. Varian turbo dijual pada harga antara 1,055,500 ke 1,303,500 rupee (sekitar RM60k ke RM74k).
The post Toyota Urban Cruiser Taisor 2024 dilancar di India – enjin 1.2L NA atau 1.0L turbo, harga dari RM44k appeared first on Paul Tan's Automotive News.
0 Comments