Prasarana telah mengumumkan bahawa bermula hari ini dan sepanjang bulan Ramadan, operasi waktu puncak bagi perkhidmatan bas dan rel diselaraskan. Perubahan waktu puncak ini adalah untuk memudahkan perjalanan pengguna sepanjang bulan Ramadan, terutamanya bagi mereka yang ingin menuju ke destinasi masing-masing untuk berbuka puasa.
Untuk perkhidmatan rel Rapid KL LRT, MRT dan Monorel, operasi waktu puncak pagi akan ditambah 30 minit iaitu bermula jam 6.30 pagi sehingga 9.30 pagi berbanding waktu sekarang iaitu dari jam 7.00 pagi sehingga 9.30 pagi. Manakala operasi pada waktu puncak petang ditambah satu jam tiga puluh minit bermula dari jam 4.00 petang sehingga 8.00 malam, berbanding 5.00 petang hingga 7.30 petang waktu sekarang.
Bagi perkhidmatan Rapid Bus di Lembah Klang dan Pulau Pinang, termasuk bas-bas perantara MRT, operasi waktu puncak pagi adalah dari jam 6.30 pagi sehingga 9.30 pagi manakala waktu puncak petang adalah dari jam 4.00 petang sehingga 8.00 malam. Operasi waktu puncak perkhidmatan Rapid Bus di Kuantan adalah seperti biasa.
“Bersempena bulan Ramadan, anak syarikat Prasarana iaitu Prasarana Integrated Development Sdn Bhd (PRIDE) akan membuka mini bazar Ramadan di tiga stesen LRT terpilih iaitu Stesen LRT Pasar Seni, Stesen LRT Damai, dan Stesen LRT Ampang Park.
“Terdapat juga jualan makanan dan minuman berkonsepkan grab and go di bazar rakyat sedia ada yang sesuai dijadikan juadah berbuka seperti di Stesen LRT Sri Rampai, Stesen LRT Taman Melati dan Stesen LRT Gombak. Juadah ini akan mula dijual pada jam 3.30 petang hingga 7.30 malam. Kemudahan ini akan memberi peluang kepada pengguna untuk mendapatkan juadah berbuka puasa,” kata Prasarana lagi.
The post Prasarana selaraskan operasi waktu puncak bagi perkhidmatan bas dan rel sepanjang Ramadan appeared first on Paul Tan's Automotive News.
0 Comments