Untuk peminat pasukan lumba rasmi Proton R3, ini mungkin berita yang ditunggu-tunggu – dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan hari ini, Proton mengesahkan bahawa pasukan Proton R3 kini sedang membangunkan kereta lumba baharu yang diasaskan dari Proton S70, dan ia disasarkan untuk berlumba dalam perlumbaan ketahanan Sepang 1000km (S1K)!
Menurut Proton dalam kenyataan tersebut, pasukan Proton R3 yang kini bernaung di bawah Proton Global Services (PGS) baru sahaja meraikan ulangtahun ke-20 pada tahun lalu dan ia disambut dengan pelancaran model edisi terhad Proton X50 R3.
“Tahun ini mereka memberi tumpuan untuk membangunkan kereta lumba Proton S70 R3 dengan matlamat untuk menyertai perlumbaan S1K, dan meningkatkan jualan minyak pelincir R3 berprestasi tinggi,” tulis kenyataan tersebut.
“Minat yang kuat daripada rakyat Malaysia terhadap Proton memanfaatkan perniagaan PGS. Dengan begitu banyak sejarah di sebalik syarikat, kami mempunyai peluang untuk membina hubungan yang lebih erat dengan pemilik Proton sambil menawarkan produk dan perkhidmatan yang premium kepada mereka”, kata CEO PGS, Lee Yeet Chuan pula.
“Aktiviti kami juga secara tidak langsung mengukuhkan penjenamaan Proton, dan ini jelas dilihat melalui barangan berjenama R3 kami, minyak pelincir dan pengembalian ke sukan permotoran pada masa hadapan,” tambahnya lagi.
Kenyataan rasmi terbaharu dari Proton ini adalah selari dengan apa yang disebut oleh timbalan CEO Proton, Roslan Abdullah sebelum ini. Menurutnya pasukan R3 sebelum ini menarik diri dari sebarang perlumbaan adalah kerana tiada model baharu yang sesuai untuk digunakan, dan dengan adanya sedan segmen-C Proton S70 yang baru sahaja dilancarkan pada hujung tahun lalu, R3 mungkin akan berlumba kembali menggunakan model tersebut.
Sebelum ini S1K sememangnya sudah menjadi lapangan Proton bagi menunjukkan kemampuan Proton R3 untuk menunjukkan kehebatan mereka. Sejak perlumbaan itu diadakan bermula pada tahun 2009, Proton R3 telah pun berjaya merangkul sebanyak lima gelaran juara. Namun selepas kejuaraan terakhir dirangkul pada 2019 dengan Proton Iriz, pasukan Proton R3 dilihat senyap terus bukan sahaja dari S1K, malah tidak lagi berlumba dalam mana-mana perlumbaan.
“Kami telah mengundur diri dari perlumbaan S1K sejak beberapa tahun kebelakangan ini kerana kami tidak mempunyai kereta yang boleh kami gunakan untuk berlumba. Dan kami tidak mahu berlumba hanya sekadar berlumba, tetapi dengan S70, ia mungkin dapat mengubah perkara ini,” kata Roslan.
Namun apa yang lebih menarik, Roslan memberitahu S70 bukan hanya dirancang untuk membawa kembali pasukan R3 untuk berlumba di litar, malah ia juga dirancang untuk dihasilkan dalam versi produksi talaan prestasi R3 seperti Satria R3 dan Satria Neo R3 Lotus Racing satu ketika dahulu untuk dijual di bilik pameran!
“Kami sedang berusaha untuk menghasilkan model S70 R3 dan kami turut mahu menggunakan model ini untuk kembali ke S1K. Walau bagaimanapun ini akan mengambil sedikit masa kerana kami perlu bekerjasama dengan banyak pemegang taruh bagi memastikan ia mempunyai nilai daya maju,” jelas Roslan.
Menurutnya lagi varian R3 untuk S70 itu berpotensi untuk dihasilkan bukan hanya menampilkan rupa yang lebih sporty, malah ia akan difokuskan bagi memberikan pakej prestasi yang komprehensif. Walau bagaimanapun Roslan masih belum memperincikan sebarang bentuk tingkat taraf yang akan ditampilkan pada model prestasi berkenaan.
Proton S70 diasaskan dari platform BMA yang sama seperti X50. Buat sekarang kesemua empat varian yang ditawarkan pada model tersebut menampilkan unit rangkaian kuasa yang sama iaitu enjin 1.5 liter tiga-silinder dengan sistem suntikan bahan api pelbagai titik (MPI) berkuasa 150 PS/226 Nm dan digandingkan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan.
Jadi bagi S70 R3 kelak, Proton boleh menghasilkan versi prestasi dengan kuasa lebih besar dengan mudah menggunakan enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api terus (T-GDI) yang menghasilkan kuasa 177 PS dan tork maksima 255 Nm.
Tiada kerja R&D yang besar perlu dilakukan kerana enjin T-GDI tersebut berkongsi hampir keseluruhan komponen yang sama seperti enjin versi MPI, dan ia telahpun dipadankan pada model-model produksi sedia ada Proton seperti X50 Flagship dan juga X70 versi 1.5L T-GDI.
Walaupun dengan pelbagai tingkat taraf yang diberikan, kami jangkakan S70 R3 ini kelak masih boleh dijual pada harga yang kompetitif. Buat masa sekarang, Proton S70 varian paling mahal iaitu varian Flagship X dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM94,800, atau sekitar RM30,000 lebih murah dari varian paling murah sedan segmen-C dari Honda iaitu Civic FE dalam varian 1.5L E.
Jadi sekiranya Proton S70 R3 ini nanti diberikan pelbagai tingkat taraf yang bernilai RM30k menjadikan harga jualannya sekitar RM130,000, ia masih boleh dijual pada harga yang lebih murah berbanding pesaingnya yang lain. Untuk konteks, Honda Civic RS 1.5 Turbou dijual pada harga RM151,900 manakala Toyota Corolla GR Sport pula dijual pada harga RM152,800.
GALERI: Proton S70 2024 Flagship X
The post Proton sahkan kereta lumba S70 R3 untuk S1K sedang dibina – model prestasi jalan raya S70 R3 selepas itu? appeared first on Paul Tan's Automotive News.
0 Comments