Kementerian Pengangkutan berkata pihaknya sedang mengkaji kemungkinan perkhidmatan kereta api ekspres antara negeri beroperasi secara tetap, bukan hanya semasa musim perayaan. Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata beliau akan membincangkan aspek perkara itu dengan Keretapi Tanah Melayu (KTM), laporan MalayMail.
“Kereta api ekspres bukanlah sesuatu yang baharu. Perkhidmatan tren elektrik (ETS) mempunyainya (semasa musim perayaan), di mana ia hanya mengambil masa kira-kira dua jam untuk perjalanan dari Ipoh ke Kuala Lumpur,” katanya.
Tambahnya, inisiatif itu yang memendekkan masa perjalanan iaitu hanya dua jam berbanding waktu perjalanan biasa 2 jam 40 minit bagaimanapun hanya boleh dilaksanakan selepas projek naik taraf Landasan Berkembar Elektrik Lembah Klang Fasa 1 (KVDT1) yang sedang berlangsung, selesai dijangka akhir Mac ini.
Loke berkata matlamatnya adalah untuk membolehkan KTM menyediakan sekurang-kurangnya satu atau dua perkhidmatan kereta api ekspres setiap hari. “Ini akan sangat membantu mereka yang tinggal di Ipoh dan pergi ke KL untuk tujuan kerja. Mereka lebih suka perjalanan harian dan ramai yang tidak mahu bermalam di tempat lain, tidak kira di KL atau Pulau Pinang, kerana mereka mahu menjimatkan kos dan bersama keluarga,” jelasnya.
Beliau menambah, perjalanan harian boleh dilakukan dengan perkhidmatan kereta api ekspres memandangkan jarak antara negeri di Semenanjung Malaysia tidak jauh. “Jadi jika sistem perkhidmatan pengangkutan awam kita dapat menyokong usaha ini, sudah pasti ia akan membantu ramai orang dan menggalakkan lebih ramai menggunakan pengangkutan awam,” katanya.
Bagi musim perayaan Tahun Baharu Cina ini, KTM menjalankan operasi empat tren ETS tambahan setiap hari dari 7 hingga 13 Februari antara KL Sentral dan Ipoh. Loke berkata bahawa semua tiket untuk tren tambahan, yang mana dua daripadanya adalah perkhidmatan kereta api ekspres, telah habis dijual.
The post Kerajaan mahu wujudkan semula operasi perkhidmatan tren ekspres di luar musim perayaan appeared first on Paul Tan's Automotive News.
0 Comments