Mforce Bike Holdings Sdn Bhd hari ini juga telah melancarkan sebuah kapcai mampu milik yang dipanggil sebagai SM125i untuk pasaran Malaysia, dengan ditawarkan dalam pilihan tiga warna iaitu merah, biru dan kuning, pada harga RM5,888 tidak termasuk insurans.
Model ini dipacu oleh enjin satu silinder 123.7 cc dengan sistem suntikan bahan api dan SOHC, dipadankan bersama transmisi empat kelajuan dan mampu menghasilkan kuasa 7.8 hp pada 8,000 rpm dan tork 8.5 Nm pada 6,000 rpm.
Walaupun digelar sebagai motosikal mampu milik, SM125i datang dengan beberapa kelengkapan moden seperti meter digital LCD berwarna, semua lampu jenis LED, soket pengecas USB di bawah bahagian pemegang serta brek cakera pada roda hadapan.
Brek belakang bagaimanapun masih lagi menggunakan jenis dram manakala rim datang dengan unit aluminium 17 inci dengan tayar tanpa tiub bersaiz 70/90 di hadapan dan 80/90 di belakang. Di bawah tempat duduk terdapat ruang simpanan barang bersaiz sederhana.
Kelengkapan lain pada SM125i adalah termasuk fork teleskopik di hadapan, dua penyerap hentak di belakang, tangki bahan api empat liter, soket kunci anti kecurian serta pemula enjin elektrik dan tendang. Motosikal ini datang dengan jaminan dua tahun tanpa had batuan.
The post WMoto SM125i dilancar untuk pasaran Malaysia – kapcai 124 cc dengan meter LCD, lampu LED, RM6k appeared first on Paul Tan's Automotive News.
0 Comments