Proton telah pun berjaya menjual sebanyak 12,711 unit kenderaan untuk bulan Disember lalu, membolehkan pengeluar kereta nasional tersebut menamatkan tahun 2023 dengan jumlah jualan keseluruhan sebanyak 154,611 unit (domestik + eksport).
Angka itu sekali lagi membolehkan Proton mencatatkan pertumbuhan jualan bagi tahun kelima berturut-turut, dan ini juga merupakan rekod prestasi terbaik pernah dicatatkan sejak 2012. Jumlah jualan 2023 ini mewakili peningkatan sebanyak 9.3% berbanding 141,432 unit yang dijual pada 2022.
Proton menganggarkan pegangan pasarannya kini adalah sebanyak 19.4% dari jumlah volum industri (TIV) yang
dianggarkan 794,948 unit, atau sekitar 10.3% lebih tinggi dari tahun sebelumnya. Ini membolehkan ia terus berada di tempat kedua dalam jualan keseluruhan pasaran Malaysia juga untuk tahun kelima berturut-turut.
Model-model PIES (Persona, Iriz, Exora dan Saga) Proton yang dibangunkan secara tempatan terus menjadi pemacu utama jumlah jualan Proton tahun lalu. Saga masih kekal sebagai model terlaris Proton dengan jumlah jualan keseluruhan sebanyak 70,184 unit, juga merupakan prestasi terbaiknya sejak tahun 2012.
Walau bagaimanapun ini hanya meletakkan Saga sebagai model keempat paling laris di Malaysia bagi 2023. Pemintaan terhadap sedan mampu milik tersebut meningkat dengan mendadak iaitu 25.6%, dan menurut Proton ia menjadi model pilihan bagi pelanggan yang pertama kali membeli kereta.
Manakala model yang mencatatkan pertumbuhan jualan paling besar pula adalah sedan segmen-B Proton Persona yang berjaya dijual sebanyak 24,362 unit, melonjak sebanyak 48.9% berbanding tahun sebelumnya. Ini membolehkan Persona berada di tempat kedua dalam kelasnya.
Proton Iriz yang terjejas di peringkat produksi tahun lalu kerana isu bekalan cip turut menunjukkan peningkatan jualan tahun ini selepas masalah tersebut berjaya diselesaikan. Iriz terjual sebanyak 7,639 unit sepanjang 2023, atau naik 33.8% berbanding 2022.
Tahun 2023 merupakan tahun terakhir Proton Exora dijual di bilik pameran Proton selepas produksi MPV segmen-C tersebut ditamatkan produksinya Oktober tahun lalu. Namun MPV ini masih mampu mencatatkan kenaikan jualan sebanyak 4.6% berbanding tahun sebelumnya dengan jumlah jualan 4,473 unit sepanjang 2023. Menurut Proton, sepanjang pengeluarannya, lebih 194,000 unit telah terjual menjadikan Exora sebagai “MPV segmen C paling berjaya dalam sejarah automotif Malaysia.”
Bagi siri X pula, Proton X50 kekal menjadi SUV paling laris Proton dengan jualan 31,829 unit sepanjang 2023 (domestik dan eksport), dan ia masih peneraju jualan dalam kelas SUV segmen-B di Malaysia. SUV segmen-D Proton X90 juga merupakan satu lagi model Proton yang paling laris dalam kelasnya dengan jualan sebanyak 4,815 unit terjual sejak dilancarkan pada 7 Mei 2023.
Manakala untuk Proton X70, ia terjual sebanyak 11,200 unit sepanjang tahun lalu, membolehkan ia berada di tempat kedua dalam saingan SUV segmen-C di Malaysia.
“Tahun 2023 merupakan satu lagi tahun yang mencatat rekod bagi industri automotif kerana jumlah jualan melonjak sebanyak 10.3% berbanding volum tertinggi sebelumnya yang dicapai hanya dua belas bulan sebelumnya. Faktor seperti pemenuhan pesanan untuk kereta bebas cukai sehingga akhir bulan Mac tidak syak lagi mendorong peningkatan volum pada suku pertama tahun itu, tetapi ia juga merupakan tahun yang aktif untuk pelancaran kereta dengan gangguan minimum yang disebabkan oleh kekurangan alat ganti,” kata CEO Proton, Dr Li Chunrong.
“Proton berterima kasih atas sambutan hangat rakyat Malaysia terhadap produk kami. Kejayaan ini adalah bukti komitmen kami untuk menyampaikan lebih daripada sekadar kenderaan mampu milik kerana kami juga menekankan reka bentuk yang bergaya, teknologi canggih, dan komitmen yang kuat terhadap keselamatan dalam semua model Proton. Menjelang tahun 2024, kami yakin kami akan mengekalkan momentum ini, disokong oleh pengenalan model baharu kami, S70,” tambahnya lagi.
“Kami mengiktiraf perjalanan yang telah kami lalui setakat ini, dan seterusnya menyampaikan kenderaan berkualiti, kami memahami kepentingan menyediakan kebanggaan pemilikan dengan pemilik. Dedikasi kami untuk menambah baik perkhidmatan selepas jualan dan alat ganti telah memainkan peranan penting dalam mencapai kejayaan ini kerana Proton kekal teguh dalam komitmennya untuk penambahbaikan berterusan dan tegas dalam memenuhi dan mengatasi jangkaan pelanggan kami,” ujar Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar dan Naib CEO Proton.
The post Proton catat jualan tahunan 154,611 unit untuk 2023; terbaik sejak 2012, pertumbuhan 5 tahun berturut-turut appeared first on Paul Tan's Automotive News.
0 Comments