Kanak-kanak 5 tahun meninggal dunia selepas tertinggal dalam kereta ibunya di Hospital Shah Alam

Kanak-kanak 5 tahun meninggal dunia selepas tertinggal dalam kereta ibunya di Hospital Shah Alam

Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam kereta ibunya yang diparkir berdekatan pintu belakang Hospital Shah Alam semalam, laporan Harian Metro.

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang pegawai perubatan hospital berkenaan kira-kira jam 8.01 malam. Katanya, hasil siasatan mendapati mangsa ditinggalkan oleh ibunya secara tidak sengaja di dalam Perodua Axia selepas mangsa diambil dari sebuah taska yang berdekatan kira-kira 2 petang.

“Semasa ditinggalkan, mangsa dalam keadaan tertidur dan enjin kereta dimatikan. Ibu kanak-kanak itu yang berusia 34 tahun yang juga kakitangan hospital hanya menyedari kejadian terbabit selepas dihubungi suaminya pada 6 petang. Mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Shah Alam, dalam keadaan tidak sedarkan diri, sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya.

Hasil bedah siasat yang dijalankan ke atas mangsa juga mendapati tidak ada sebarang kecederaan luaran mahupun dalaman.

Mohd Iqbal berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

“Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati semasa mengambil anak-anak mereka semasa pulang dari sekolah atau taska terutamanya yang masih kecil supaya kejadian seperti ini tidak berulang. Mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini bolehlah menghubungi Inspektor Syer Aidid di talian 013-6544996,” katanya.

Strok haba ini merupakan sesuatu yang tidak boleh dipandang remeh, terutamanya di negara dengan iklim khatulistiwa seperti Malaysia. Pada 2015, People for the Ethical Treatment of Animals (PETA) telah menyiarkan video untuk menunjukkan betapa bahayanya serangan strok haba ini sekiranya anda terperangkap di dalam kereta.

Insiden seperti ini banyak terjadi di negara kita, pernah mendapat perhatian menteri yang berusaha mencari solusi untuk mengelakkan ia berulang. Ya, kita tidak berada di tempat ibubapa kanak-kanak berkenaan ketika insiden tersebut berlaku, elakkan mencemuh mereka kerana tiada siapa yang mahu perkara sebegini berlaku. Namun, tolonglah…carilah jalan untuk mengelakkannya, ini termasuklah meletakkan beg tangan/kerja di tempat duduk belakang agar anda tidak terlupa si kecil. Atau pun, sila lekatkan nota atau sticker pada stereng untuk membuatkan anda peka anak anda berada di tempat duduk belakang.

Juga sebagai masyarakat yang prihatin, jika anda terlihat kanak-kanak yang ditinggalkan di dalam kereta tanpa orang dewasa, tolonglah hubungi pihak berkuasa seperti polis secepat mungkin untuk menyelamatkan kanak-kanak berkenaan. Itu sebabnya Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Nancy Shukri menyuarakan agar penggunaan cermin gelap diharamkan kerana ia mungkin antara punca orang ramai tidak menyedari ada kanak-kanak tertinggal di dalam kereta.

The post Kanak-kanak 5 tahun meninggal dunia selepas tertinggal dalam kereta ibunya di Hospital Shah Alam appeared first on Paul Tan's Automotive News.


Post a Comment

0 Comments