SUV mewah Jaecoo J7 yang sebelum ini pernah dipertontonkan di Malaysia sekarang dibawa ke Pusat Latihan dan Pengalaman 4WD Malaysia (M4TREC) di Semenyih Selangor. Menurut Jaecoo Malaysia, SUV tersebut berjaya “menawan segala ujian dengan mudah.”
Semasa dipertontonkan awal bulan lalu, dua varian J7 ini dibawa, iaitu versi pacuan roda hadapan dan pacuan semua roda. Kedua-duanya menggunakan enjin petrol empat silinder 1.6 liter turbo dengan transmisi automatik klac berkembar tujuh kelajuan.
Antara ujian yang dilalui di M4TREC melibatkan tanjakan licin, ujian artikulasi, mendaki dan menuruni bukit curam serta beberapa lagi Turut diuji adalah kemampuan SUV itu untuk berhadapan keadaan jalan mencabar dan menerima impak kuat.
“Kemampuan offroad luar biasa J7 membuat kami terkejut, dan ia ditunjukkan dengan navigasi lancar melalui jalan yang mencabar di M4TREC,” Jaecoo memetik ayat daripada salah seorang pelatih M4TREC.
Mencatat ukuran badan 4,500 mm panjang, 1,865 mm lebar, 1,680 mm tinggi dan jarak roda 2,672 mm, J7 mempunyai saiz seperti Toyota Corolla Cross, tetapi lebih kecil berbanding Mazda CX-5. Melihat kepada spesifikasi, ia mencatat jarak kelegaan dari tanah 200 mm, boleh meredah air berkedalaman 600 mm serta sudut condong 21 darjah hadapan dan 29 darjah di belakang.
Sistem keselamatan pada J7 dikatakan terdiri daripada 21 fungsi pemanduan pintar, dan antaranya adalah Automatic Emergency Braking (AEB), Front Collision Warning, Lane Departure Warning, Lane Departure Prevention, Emergency Lane Keeping, Intelligent Evasion System, Curve Speed Assistance, Lead Car Departure Notification, kamera 360 darjah serta Park Assist.
Turut diberi adalah Rear Collision Warning, Rear Cross Traffic Alert, Rear Cross Traffic Braking, Blind Spot Monitoring, Lane Change Assist, Auto High Beam dan Adaptive Cruise Control dengan Traffic Jam Assist. Sebelum ini Jaecoo Malaysia memberitahu, J7 akan dilancarkan pada suku kedua tahun ini.
Selain J7, Jaecoo Malaysia juga sudah menunjukkan J8, yang merupakan SUV tiga baris tempat duduk dengan enjin petrol 2.0 liter turbo berkuasa 249 PS dan 385 Nm. Ia adalah SUV yang lebih besar, dengan ukuran badan 4,820 mm panjang, 1,930 mm lebar, 1,699 mm tinggi dan jarak roda 2,820 mm.
Jenama Jaecoo ini sebenarnya berada di bawah Chery (seperti Omoda) dan ia dibuat khas untuk pasaran luar selain China.
The post Jaecoo J7 tunjuk kemampuan offroad di M4TREC appeared first on Paul Tan's Automotive News.
0 Comments